Persimpangan Terpanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Di Nyabau Kini Dibuka
Persimpangan Terpanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Di Nyabau Kini Dibuka
BINTULU, SARAWAK, 18 FEBRUARI 2022 - Persimpangan Bertingkat (Flyover) Nyabau sepanjang 1.23 kilometer telah dibuka kepada pengguna jalan raya bagi melancarkan aliran trafik laluan yang menghubungkan tiga bandar di Sarawak, iaitu Sibu, Bintulu dan Miri.
Majlis perasmian telah disempurnakan secara bersama oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.
Persimpangan Nyabau ini merupakan persimpangan terpanjang dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan dibuka dari laluan utama menuju ke Miri (bermula dari lampu isyarat Bintulu ke Miri) dan laluan utama ke Sibu (dari lampu isyarat Bintulu ke Sibu).
Persimpangan Bertingkat Nyabau adalah salah satu jejambat di dalam jajaran Seksyen Nyabau, Pakej Kerja 10 dari Bakun ke Niah, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. Kerja pembinaan Seksyen Nyabau telah bermula pada 1 Mac 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Januari 2022 dengan kos keseluruhan sebanyak RM164 juta.
Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, pemandu dinasihati mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan iaitu 60 kilometer sejam dan aktiviti bergambar, beriadah dan berkumpul di atas jejambat ini tidak dibenarkan.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini adalah satu komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mewujudkan pembangunan yang mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat, etnik dan wilayah.
- Log in to post comments