FTRoadpedia Utara 2.0 Kedah – Tinjauan Pembaikan Cerun Pasca Banjir
FTRoadpedia Utara 2.0 Kedah – Tinjauan Pembaikan Cerun Pasca Banjir
ALOR SETAR, KEDAH, 19 MAC 2022: Program FTRoadpedia Utara 2.0 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) 2022 telah memberi tumpuan kepada tinjauan kerja penyenggaraan pasca banjir di negeri Kedah. Program yang diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof ini meninjau lokasi pembaikan cerun di laluan K1 Jalan Kuala Kedah, Yan, Singkir dan Kg. Badong yang merupakan Jalan Negeri di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya, negeri Kedah.
Kerja pembaikan cerun di laluan ini melibatkan kaedah pembaikan tieback wall, soil nail dan guniting dan telah siap sepenuhnya pada Mac 2022. Anggaran kos keseluruhan adalah sebanyak RM3.76 juta.
Program diteruskan dengan tinjauan kerja-kerja pembaikan pasca banjir di Jalan Persekutuan, Gunung Jerai FT252, Yan, Kedah yang terjejas akibat kejadian bencana kepala air dan banjir lumpur yang berlaku pada 18 Ogos 2021. Dianggarkan 1,000 penduduk di kaki Gunung Jerai terutama di Yan, Gurun dan Merbok di Kuala Muda telah terkesan seperti terputus hubungan dan kerosakan harta benda.
JKR telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun di tujuh (7) lokasi di sepanjang laluan dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 April 2022 dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM 9.5 juta.
Terdapat 10 lokasi pembaikan cerun di kedua-dua lokasi berkenaan (Jalan K1 dan FT252), dengan 7 lokasi telah siap kerja pembaikan sepenuhnya, manakala 3 lagi lokasi masih dalam proses pembaikan dengan kemajuan projek antara 70% ke 90%.
Program FTRoadpedia Utara 2.0 yang berlangsung selama dua hari melibatkan jajaran Jalan Persekutuan di Negeri Kedah dan Pulau Pinang yang mana pada hari pertama melibatkan tinjauan kerja pembaikan infrastruktur di Negeri Kedah.
- Log in to post comments