Jelajah FTRoadpedia Sabah — Tinjau Pembinaan Pan Borneo & Penyenggaraan Jalan Persekutuan #infrakeluargaMalaysia
Jelajah FTRoadpedia Sabah — Tinjau Pembinaan Pan Borneo & Penyenggaraan Jalan Persekutuan #infrakeluargaMalaysia
SANDAKAN, 27 MEI 2022 - Program FTRoadpedia anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) pada kali ini memberikan tumpuan di negeri Sabah di bawah bayu. Fokus utama Jelajah FTRoadpedia Sabah adalah untuk meninjau status pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan isu penyenggaraan Jalan Persekutuan di negeri berkenaan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, bersama Pengurusan Tertinggi KKR, mengetuai Program Jelajah FTRoadpedia Sabah selama 3 hari bermula 27 hingga 29 Mei 2022. Perjalanan sejauh 333 km bermula di Sandakan dan berakhir di Kota Kinabalu ini adalah pendekatan proaktif KKR untuk meninjau sendiri dan mengumpul maklumat keadaan Jalan Persekutuan di negeri Sabah.
Pada hari pertama lokasi tinjauan yang terlibat adalah di Pakej Kerja (WP 27) – Menaiktaraf Jalan Dari Kg.Lot M ke Sandakan Mile 32, sepanjang 18.1km. Status kemajuan siap sehingga 22 April 2022 adalah 88 peratus dan dijangka siap pada 13 Julai 2022 melibatkan kos projek sebanyak RM493.15 juta.
Tiga (3) lokasi tinjauan FTRoadpedia Sabah seterusnya iaitu di Pakej Kerja (WP 28) – Menaiktaraf Jalan dari Sandakan Mile 32 ke Moynod sepanjang 21.7km, Pakej Kerja (WP 29) – Menaiktaraf Jalan dari Moynod ke Sapi Nangoh sepanjang 20km dan Pakej Kerja (WP 30) – Menaiktaraf Jalan dari Sapi Nangoh ke Sungai Baoto sepanjang 22km. Pelaksanan bagi ketiga-tiga Pakej Kerja ini akan bermula pada 11 Oktober 2021 dan dijangka siap pada 10 Oktober 2024 dengan kos projek adalah sebanyak RM955.87 juta.
KKR akan sentiasa berusaha dalam memastikan infrastruktur awam khususnya jalan raya yang rosak dibaikpulih demi kesejahteraan rakyat. Di Sabah khususnya di Jalan Persekutuan, sebanyak 47,223 jumlah potholes telah dibuat tampalan dari tahun 2019 sehingga bulan April 2022 dan jumlah ini menunjukkan trend peningkatan setiap tahun. Peningkatan jumlah tampalan potholes sebanyak 18 peratus setiap tahun menunjukkan jangka hayat jalan yang sedia ada sekarang memerlukan peruntukan penyenggaraan yang lebih besar. Terdapat juga jalan di Sabah yang telah tamat tempoh hayatnya dan perlu penurapan semula. KKR komited untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk menampung perbelanjaan penyenggaraan jalan di Sabah.
Bersempena program FTRoadpedia Sabah ini juga, Kementerian Kerja Raya turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
Program jelajah ini turut disertai oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzair Wan Sulaiman.
FTRoadpedia Sabah hari kedua akan menjelajah Pakej 8, Pakej 7, Pakej 6 dan Pakej 5 dari Kundasang ke Kota Kinabalu sejauh 94 km.
Dato’ Sri Fadillah berkata, program jelajah FTRoadpedia yang diperkenalkan sejak 6 Ogos 2016 bertujuan untuk beliau dan pengurusan tertinggi Kementerian, meninjau sendiri setiap ceruk Jalan Persekutuan di seluruh negara. Sebanyak 8 FTRoadpedia telah dilaksanakan melibatkan perjalanan sejauh 3,663km daripada keseluruhan 19,950km Jalan Persekutuan di seluruh negara.
- Log in to post comments