Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2022 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
288070529_397240112442203_2236599892335417293_n.jpg

Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2022

IPOH, PERAK, 21 JUN 2022 - Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menganjurkan Persidangan Pegawai Kanan JKR Tahun 2022 bertempat di Hotel Casuarina, Perak dengan bertemakan “PENDIGITALAN: Kelangsungan Perkhidmatan di Era Endemik”. Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah menyempurnakan majlis perasmiannya.

Objektif utama penganjuran persidangan tahunan ini adalah untuk mendengar mandat dan hala tuju kepimpinan, platform perkongsian pengalaman dan kepakaran serta ruang diskusi kepada pegawai-pegawai JKR untuk melontarkan perspektif masing-masing demi memperkasakan perkhidmatan jabatan menerusi pendigitalan khususnya di era endemik yang penuh mencabar ini.

Tema berfokuskan pendigitalan menjadi pilihan selari dengan aspirasi negara dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam. JKR sentiasa berusaha untuk memanfaatkan teknologi dalam mendigitalkan perkhidmatan Jabatan agar lebih berdaya saing.

Demi kelangsungan perkhidmatan di fasa peralihan endemik, Jabatan telah memanfaatkan teknologi dan berjaya memastikan proses perolehan Jabatan diteruskan melalui platform digital. JKR telah berjaya membangunkan sistem yang dinamakan JKR E-TENDER (JET) dan telah disempurnakan pelancarannya oleh YB Menteri Kanan Kerja Raya.

Sistem tender dalam talian (end to end) ini akan menyaksikan proses perolehan Jabatan dilaksanakan dalam talian secara menyeluruh. Antara fungsi utama sistem termasuklah pembayaran dokumen tender melalui gerbang bayaran, pembelian tender melalui sistem,pengemukaan dokumen tender secara digital, serta pengumuman tender melalui sistem. Jabatan menyasarkan untuk meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan supaya lebih cekap dan memenuhi keperluan semasa, seiring dengan transformasi digital IR 4.0.

Persidangan ini bermula pada 20-22 Jun 2022 yang melibatkan penyertaan lebih empat ratus (400) orang pegawai-pegawai kanan JKR, terdiri daripada Pengarah-Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah, Pegawai-pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai Kader dari seluruh negara.

Antara kertas kerja yang dibentangkan sepanjang Persidangan SOC 2022 adalah Sistem Pengurusan Projek JKR - J10; Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang (1.0 & 2.0): Pengalaman dan Cabaran; IR4.0 Technologies: Opportunities, Challenges and Success Stories at Jabatan Kerja Raya; dan Strategi Pendigitalan Sektor Awam bagi Merealisasikan Whole-of-Government di Era Endemik.

Penyampaian Anugerah Kontraktor Cemerlang kepada kontraktor dan pelaksana yang berjaya melaksanakan projek JKR turut diadakan sempena SOC 2022. Selain itu, sebanyak sembilan (9) pelancaran produk keluaran JKR Malaysia dan dua (2) sesi tandatangan MoU JKR Bersama Rakan Strategik dimeterai.

Pameran Industri Pembinaan 2022 juga diadakan selama tiga (3) hari sepanjang persidangan berlangsung. Sebanyak empat puluh satu (41) pempamer gerai telah menyertai pameran ini melibatkan pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan swasta.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
287910061_397240705775477_234721942430041953_n.jpg
288027237_397240792442135_3528818840614435151_n.jpg
 288150404_397240179108863_5873044402887588631_n.jpg
288194197_397240075775540_5460689504014153436_n.jpg
288266753_397239735775574_5322237939910518932_n.jpg
288326900_397239932442221_5331661508792142035_n.jpg
288465579_397239809108900_7205883240576429702_n.jpg
288761342_397240299108851_2805063843651594411_n.jpg
288832913_397240269108854_1919826904103245778_n.jpg
288868977_397240635775484_2704793441222382278_n.jpg
289073337_397240215775526_8903952701628169930_n.jpg
289328267_397240032442211_5670042683101914604_n.jpg