PENGUKUHAN BUDAYA INTEGRITI TERAS KECEMERLANGAN PENYAMPAIAN INFRASTRUKTUR NEGARA | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

PENGUKUHAN BUDAYA INTEGRITI TERAS KECEMERLANGAN PENYAMPAIAN INFRASTRUKTUR NEGARA

Submitted by wmukk on 17 November 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memperkukuh nilai integriti, ketelusan dan tatakelola baik dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Kerja Raya Tahun 2026 yang bertemakan "Integriti Kita, Nilai Kita", hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, dengan kehadiran pengurusan tertinggi kementerian, ketua-ketua agensi di bawah KKR serta warga kerja kementerian.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa integriti bukan sekadar pematuhan kepada peraturan atau undang-undang, sebaliknya merupakan nilai teras yang mesti dibudayakan dalam setiap peringkat pelaksanaan projek pembangunan negara.

"Sebagai kementerian yang menerajui pembangunan infrastruktur dan industri pembinaan negara, setiap keputusan, perolehan serta pelaksanaan projek membawa impak langsung kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Justeru, amalan tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan bebas daripada sebarang bentuk ketirisan atau salah guna kuasa adalah tanggungjawab mutlak kita bersama," ujar beliau.

Kemuncak majlis perasmian turut menyaksikan pelancaran "Buku Kod Etika Tatakelakuan KKR" dan "Buku Pelan Anti Rasuah (OACP) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)" sebagai panduan dan manifestasi komitmen berterusan warga kementerian serta agensi dalam membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, sambutan pada tahun ini turut diisi dengan pelbagai pengisian bermaklumat termasuk sesi perkongsian khas mengenai pencegahan jenayah kewangan dan *scam* oleh institusi kewangan, serta sesi perkongsian bertajuk "Pengkisahan Dari Tirai Besi: Masa Itu Kehidupan" yang disampaikan oleh mantan pegawai penjara, Ustaz Shafiee Hussin.

Bagi menyemarakkan lagi penghayatan nilai murni dalam kalangan warga kerja, majlis turut meraikan para pemenang pertandingan Jelajah Integriti, Kuiz Integriti KKR serta penyampaian "Anugerah Bitara Integriti" sebelum diakhiri dengan lawatan ke reruai pameran.

Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memartabatkan tatakelola yang baik serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kecekapan dan kredibiliti sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8