KERAJAAN SERAH 190 UNIT RUMAH KELUARGA ANGKATAN TENTERA DI KEM MUARA TUANG | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KERAJAAN SERAH 190 UNIT RUMAH KELUARGA ANGKATAN TENTERA DI KEM MUARA TUANG

Submitted by wmukk on 17 November 2026

KOTA SAMARAHAN – Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia hari ini secara rasminya menyerahkan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak kepada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

Majlis penyerahan projek bagi menyediakan kemudahan kediaman kondusif kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, dengan disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi KKR, MINDEF, serta JKR Malaysia.

Projek yang dibangunkan di atas tapak seluas 28.3 ekar dengan nilai kontrak semasa berjumlah RM119.1 juta ini menyediakan keseluruhan 190 unit kediaman pelbagai kelas, merangkumi satu unit Kelas B2, tiga unit Kelas B1, tiga unit Kelas C4, sembilan unit Kelas C3, 30 unit Kelas C2, 32 unit Kelas F, serta 112 unit Kelas G.

Bagi menyokong keperluan harian para penghuni, kompleks perumahan ini turut dilengkapi dengan kemudahan sokongan bersepadu termasuk surau, tadika, taska, rumah sampah, rumah pam, serta kerja-kerja sistem mekanikal dan elektrikal.

Pelaksanaan projek ini diselia secara rapi oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia menerusi kaedah Reka dan Bina (Design and Build) dengan pelantikan Faltech Engineering Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama. Kerja-kerja pembinaan yang dimulakan pada 9 Mei 2023 ini berjaya disiapkan sepenuhnya dan memperolehi Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion - CPC) pada 2 Oktober 2026.

Penyerahan projek ini menterjemahkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan warga pertahanan negara serta mengurangkan beban kos penyewaan kediaman di luar kem. Selaras dengan prinsip KKR Delivery Culture, JKR Malaysia akan meneruskan pemantauan rapi terhadap tanggungjawab kontraktor sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defects Liability Period - DLP) bagi memastikan kualiti fasiliti kekal terpelihara mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6