KKR DAN MyCC PERKUKUH KERJASAMA BANTERAS TIPUAN BIDA DALAM PEROLEHAN KERAJAAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KKR DAN MyCC PERKUKUH KERJASAMA BANTERAS TIPUAN BIDA DALAM PEROLEHAN KERAJAAN

Submitted by wmukk on 20 October 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti dalam perolehan Kerajaan menerusi pemeteraian Surat Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Surat Persefahaman ini menjadi landasan kerjasama strategik antara KKR dan MyCC untuk membendung amalan antipersaingan, khususnya tipuan bida (bid rigging) dalam perolehan Kerajaan, sekali gus memastikan persaingan yang adil, telus dan berintegriti.

Majlis menandatangani Surat Persefahaman tersebut berlangsung di Pejabat MyCC, Menara SSM, dengan KKR diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, manakala MyCC diwakili oleh Pengerusinya, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg. Dato’ Ar. IDr. Azman bin Md. Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, YBhg. Datuk Iskandar Ismail; serta pegawai kanan KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk tidak berkompromi terhadap amalan kartel, khususnya tipuan bida yang boleh menjejaskan persaingan sihat dan kepentingan Kerajaan serta rakyat.

Susulan pemeteraian ini, Bahagian Kewangan KKR, MyCC serta bahagian dan cawangan berkaitan akan bekerjasama membangunkan terma rujukan dan garis panduan bagi memudahkan pegawai serta kakitangan KKR dan agensi di bawahnya menyalurkan aduan atau mendapatkan maklum balas MyCC sekiranya terdapat petunjuk amalan tipuan bida dalam proses perolehan.

Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh ekosistem perolehan yang berintegriti, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan peruntukan Kerajaan dimanfaatkan secara optimum demi kepentingan rakyat. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4