LIMA LAGI PROJEK FOTOVOLTA SURIA DISERAH, PACU INFRASTRUKTUR KERAJAAN RENDAH KARBON
PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menyempurnakan penyerahan lima (5) lagi projek Sistem Fotovolta Suria Tersambung Grid (Grid-Connected Photovoltaic - GCPV) di enam (6) premis Kerajaan melibatkan Kementerian Luar Negeri (KLN), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.
Penyerahan fizikal inisiatif ini menterjemahkan komitmen nyata KKR terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap - NETR) dan aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang tahun 2050. Pemanfaatan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di fasiliti awam ini berperanan penting dalam mengurangkan jejak karbon serta memastikan pengurusan aset negara dilaksanakan secara mampan dan cekap tenaga.
Kesemua lima (5) projek berkapasiti terpasang 779.86 kiloWatt peak (kWp) ini berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal (Ahead of Time - AOT) tanpa sebarang lanjutan masa (Extension of Time - EOT). Berdasarkan unjuran prestasi, penjanaan tenaga sebanyak 1,070 MegaWatt-jam (MWj) setahun ini berupaya mengelakkan pelepasan 791 tan metrik karbon dioksida setara (tCO₂e) di samping memberikan potensi penjimatan bil elektrik yang signifikan kepada Kerajaan.
Secara keseluruhannya, program pendedahan solar di bangunan Kerajaan ini disokong oleh peruntukan Kementerian Ekonomi sebanyak RM57.6 juta, di mana portfolio semasa kini merangkumi 19 projek di 46 premis Kerajaan dengan kapasiti kumulatif 9.68 MegaWatt peak (MWp). Apabila beroperasi penuh, sistem ini diunjurkan mampu menjana 13,200 MWj tenaga setahun dengan potensi penjimatan bil elektrik menghampiri RM130 juta sepanjang hayat sistem 25 tahun.
Pelaksanaan projek ini turut diselaraskan dengan transisi ekosistem solar negara menerusi skim Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) yang mula berkuat kuasa 1 Januari 2026. Bagi KKR, pihak kontraktor akan terus dipantau sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defects Liability Period - DLP) demi memastikan prestasi penjanaan, kebolehpercayaan, dan penyenggaraan aset Kerajaan kekal terpelihara pada tahap optimum.
- Log in to post comments