MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP PEMBINAAN, PEROBOHAN DAN NAIK TARAF PUSPEN (CCRC) KARAK | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP PEMBINAAN, PEROBOHAN DAN NAIK TARAF PUSPEN (CCRC) KARAK

BENTONG - Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri, hari ini menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Projek Membina dan Meroboh serta Menaiktaraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, Bentong, Pahang.

Turut hadir ialah Exco Kerja Raya Negeri Pahang, YB Ahli Parlimen Bentong serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Projek ini dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan pusat pemulihan yang lebih moden, selamat dan selesa, selain menaik taraf serta membina kemudahan baharu dengan infrastruktur yang lebih menyeluruh. PUSPEN Karak yang dinaik taraf ini mempunyai kapasiti sehingga 500 penghuni, sekali gus menyokong pelaksanaan proses rawatan dan pemulihan secara lebih berkesan.

Projek ini mempunyai nilai kontrak asal sebanyak RM68.88 juta, manakala nilai kontrak semasa adalah RM72.115 juta. Projek telah dimulakan pada 6 Ogos 2021 dan pada asalnya dijadualkan siap pada 1 Ogos 2024.

Walau bagaimanapun, projek berdepan kelewatan susulan isu dalaman pihak kontraktor utama, TAIACE Engineering Sdn. Bhd. Hasil pemantauan dan tindakan susulan secara berterusan oleh pengurusan tertinggi KKR dan JKR Malaysia, projek ini akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya pada 27 Julai 2026, termasuk dalam tempoh berdenda.

Penyiapan projek ini merupakan satu pencapaian penting dalam memastikan kemudahan awam yang berkualiti dapat disediakan kepada kementerian pelanggan dan seterusnya dimanfaatkan oleh warga PUSPEN. Ia turut mencerminkan komitmen berterusan KKR, JKR Malaysia, kementerian pelanggan serta pihak kontraktor dalam memastikan penyampaian projek Kerajaan dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Kemudahan PUSPEN Karak yang telah dinaik taraf ini dijangka dapat mewujudkan persekitaran pemulihan yang lebih kondusif, selamat dan selesa, sekali gus menyokong usaha rawatan serta pemulihan penghuni untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik dan produktif.

KKR melalui JKR Malaysia akan terus komited dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur awam, khususnya kemudahan rawatan dan pemulihan, memenuhi aspek kualiti, keselamatan, pematuhan spesifikasi dan tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.

Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan awam yang berkualiti, inklusif dan berteraskan nilai ihsan, di samping menyokong usaha berterusan Kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih selamat, sihat, produktif dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6