KKR PERKUKUH PEMANTAUAN DAN PENYELARASAN PELAKSANAAN PROJEK LPB SABAH | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KKR PERKUKUH PEMANTAUAN DAN PENYELARASAN PELAKSANAAN PROJEK LPB SABAH

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh pemantauan dan penyelarasan terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah bagi memastikan projek infrastruktur strategik ini dilaksanakan secara teratur, berkesan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Sehubungan itu, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (Taskforce) Pelaksanaan Projek LPB Sabah Bilangan 9 Tahun 2026 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu.

Turut hadir dalam mesyuarat YBhg. Datuk Ridhwan Linus @ Roger Linus, Setiausaha Tetap,  Kementerian Kerja Raya Sabah dan Utiliti Sabah (KKRU), YBhg. Datin Rosni binti Mohd Yusoff, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan MOF, Tuan Baharuhom bin K.K. Sogon, Pengarah JKR Sabah, Datuk Ridhwan, SUT Sabah (Pengerusi bersama), Pegawai Kanan dan wakil- wakil Kementerian/Jabatan Persekutuan serta Negeri.

Mesyuarat memberi tumpuan kepada status semasa pelaksanaan Projek LPB Sabah, termasuk kemajuan fizikal, isu dan cabaran yang dihadapi di tapak serta langkah penyelesaian dan tindakan susulan yang perlu diselaraskan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Platform Taskforce ini penting bagi memastikan setiap isu berkaitan pelaksanaan projek dapat ditangani secara bersepadu dan berkesan, di samping memperkukuh koordinasi antara kementerian, agensi pelaksana, kontraktor serta pihak berkepentingan yang terlibat.

KKR akan terus mempertingkat pemantauan dan penyelarasan di semua peringkat bagi memastikan pelaksanaan Projek LPB Sabah kekal berada pada landasan yang ditetapkan, seterusnya memperkukuh kesalinghubungan, jaringan pengangkutan dan pembangunan sosioekonomi Sabah.

Komitmen ini selaras dengan usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan projek infrastruktur berskala besar dilaksanakan dengan cekap, berintegriti dan memberi manfaat optimum kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3