MALAYSIA BIM DAY 2026: KKR DAN JPM (WILAYAH PERSEKUTUAN) PERKUKUH TRANSFORMASI DIGITAL SEKTOR PEMBINAAN DAN PENGURUSAN ASET | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MALAYSIA BIM DAY 2026: KKR DAN JPM (WILAYAH PERSEKUTUAN) PERKUKUH TRANSFORMASI DIGITAL SEKTOR PEMBINAAN DAN PENGURUSAN ASET

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) serta CIDB Digital Sdn. Bhd., telah menganjurkan persidangan Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built pada 14 dan 15 September 2026 bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini hari ini.

Majlis kemuncak persidangan berkenaan telah disempurnakan secara bersama oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh. Penganjuran berimpak tinggi ini menterjemahkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mempercepat transformasi digital persekitaran binaan negara menerusi penerapan Building Information Modelling (BIM) melangkaui fasa reka bentuk kepada pengurusan kitar hayat aset secara menyeluruh.

Dalam amanatnya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa penguasaan teknologi BIM dan integrasi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya merupakan agenda nasional bagi meningkatkan produktiviti, meminimumkan pembaziran, serta memastikan penyampaian projek berasaskan pendekatan berorientasikan aset (asset-centric). Beliau turut menambah bahawa KKR bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membolehkan penglibatan inklusif kontraktor skala sederhana dan kecil.

Sementara itu, YB Hannah Yeoh menyatakan bahawa penganjuran ini menyokong pembangunan Putrajaya sebagai bandar pintar terancang yang responsif kepada keperluan rakyat, di mana integrasi BIM, Digital Twin, dan teknologi geospatial membolehkan perancangan serta pengurusan aset bandar dilaksanakan secara lebih cekap dan mampan.

Persidangan yang menghimpunkan kira-kira 600 peserta dan 35 pempamer industri ini turut menyaksikan pelancaran dua inisiatif strategik iaitu Hala Tuju BIM Putrajaya 2050 sebagai kerangka jangka panjang pengurusan bandar, serta myBIM Satellite Putrajaya sebagai pusat latihan dan pembangunan kompetensi digital warga kerja sektor awam dan industri.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7