HOSPITAL LAWAS PERKUKUH AKSES PERKHIDMATAN KESIHATAN RAKYAT | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

HOSPITAL LAWAS PERKUKUH AKSES PERKHIDMATAN KESIHATAN RAKYAT

LAWAS, SARAWAK – YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Cadangan Pembinaan Hospital Lawas (76 Katil), Lawas, Sarawak (Reka dan Bina) Fasa 2B iaitu Kerja Bangunan dan Kerja-Kerja Berkaitan (Tender Semula) di Hospital Lawas, Sarawak.

Majlis turut dihadiri YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia; YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap ADUN N.82 Bukit Sari, Lawas; YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.221 Limbang, serta barisan pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Penyerahan projek ini merupakan pencapaian penting Kerajaan dalam menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih moden, selamat, selesa dan berkualiti kepada rakyat, khususnya penduduk Lawas dan kawasan sekitarnya. Hospital berkapasiti 76 katil ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta memperluas akses rakyat kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti.

Projek ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), bermula pada 30 Jun 2020 melalui kaedah Reka dan Bina, dengan MCS Management Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama. Projek ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM183 juta.

Dengan siapnya Hospital Lawas, masyarakat setempat kini dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik dan selesa. Hospital ini juga diharapkan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan serta mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat.

KKR merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini, khususnya Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia, Ketua Pasukan Projek, Ketua Pasukan Reka Bentuk JKR, MCS Management Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama serta pasukan perunding profesional. Kejayaan projek ini adalah hasil kerjasama dan komitmen berterusan semua pihak.

Dalam memastikan kualiti projek terus terpelihara, pihak kontraktor diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defect Liability Period), termasuk mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan berkaitan kecacatan. JKR pula akan terus melaksanakan pemantauan pasca penyerahan bagi memastikan kemudahan ini berfungsi dengan baik dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Kementerian Kerja Raya dan JKR kekal komited dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur awam berimpak tinggi dapat disiapkan dengan berkualiti dan diserahkan untuk manfaat rakyat. Hospital Lawas diharapkan terus memberikan manfaat besar kepada masyarakat serta menjadi salah satu pemangkin kepada peningkatan kesejahteraan rakyat di Lawas dan kawasan sekitarnya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8