MALAYSIA SASAR PINGAT EMAS PERTAMA DI WORLDSKILLS SHANGHAI 2026
KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan pingat emas pertama negara di WorldSkills Competition Shanghai 2026, menerusi penyertaan 22 wira muda dalam 21 bidang kemahiran.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, bersama YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ketika Majlis Perjumpaan Khas Bersama Kontinjen Malaysia di Menara Dato’ Onn hari ini, menzahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan kontinjen negara untuk merealisasikan agenda “Road to Gold”. Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan)
“TVET bukan lagi sekadar laluan alternatif atau pilihan kedua. TVET ialah tiang seri kepada kemajuan ekonomi moden, pemacu utama industri masa depan serta landasan strategik untuk melahirkan generasi belia berkemahiran tinggi yang berdaya saing di peringkat global,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan para peserta bahawa kecemerlangan bukan hanya bergantung kepada kemahiran teknikal, tetapi turut menuntut kekuatan mental, disiplin, nilai murni dan jati diri yang tinggi bagi membawa imej Malaysia di pentas dunia.
Penyertaan kali ini mengangkat pendekatan “Whole of Nation”, melalui kerjasama kerajaan, kementerian, institusi latihan, pakar, jurulatih dan industri. Buat julung-julung kalinya, YAB Perdana Menteri dijadualkan hadir secara langsung di Shanghai bagi memberikan sokongan kepada kontinjen negara.
Para peserta telah menjalani latihan intensif meliputi simulasi pertandingan, latihan dalam dan luar negara serta persediaan mental dan psikologi.
YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan selaku Chef de Mission (CDM) berkata, aspek teknikal, logistik dan kebajikan kontinjen telah disusun rapi bagi memastikan Malaysia tampil dengan pasukan yang mantap, berdisiplin dan berdaya saing.
Kerajaan merakamkan penghargaan kepada semua pakar, jurulatih, kaunselor, institusi latihan dan agensi pelaksana atas komitmen dalam mempersiapkan wira muda negara ke pentas dunia.
- Log in to post comments