KESAN INSIDEN LEBIH AWAL, BANTUAN LEBIH PANTAS
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensinya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), terus memperkukuh pembangunan lebuh raya pintar bagi menyediakan perjalanan yang lebih selamat, lancar dan selesa kepada pengguna. Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi hari ini merasmikan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar Kumpulan Tol IJM yang melibatkan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS).
Pembangunan lebuh raya pintar negara dipandu oleh Pelan Hala Tuju Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia 2030 yang merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, Internet Kebendaan (IoT), maklumat perjalanan masa nyata dan pusat pengurusan trafik bersepadu. Menerusi Pusat Pengurusan Trafik LLM (TMC LLM), keadaan trafik dipantau selama 24 jam melalui integrasi 873 kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dan 278 papan tanda mesej boleh ubah (VMS).
Sistem ini membantu mengesan insiden lebih awal, menyampaikan maklumat kepada pengguna serta mempercepatkan penyaluran bantuan dan pemulihan aliran trafik.
Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar Kumpulan Tol IJM pula mengintegrasikan 144 unit CCTV, 87 unit Sistem Pengesanan Insiden Video (VIDS), 35 unit Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) dan 22 unit VMS.
Kesemua sistem tersebut disokong oleh Digital Dashboard yang menyatukan maklumat masa nyata bagi meningkatkan ketepatan pemantauan dan membolehkan keputusan operasi dibuat dengan lebih pantas berasaskan data.Integrasi AI dan analitik video turut meningkatkan keupayaan mengesan insiden serta potensi risiko, sekali gus membantu pasukan operasi menilai keadaan dan menyelaras tindak balas dengan lebih berkesan.
Pusat kawalan trafik ini turut disokong oleh Guard Expert Pro (GEP), iaitu sistem pengurusan rondaan lebuh raya pintar berasaskan IoT yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM). GEP membolehkan operasi rondaan dipantau secara masa nyata bagi meningkatkan kecekapan pengurusan keselamatan dan trafik.
Menerusi Malaysian Highway Road Accident Database System (MHROADS), iaitu sistem pangkalan data kemalangan lebuh raya yang dibangunkan oleh LLM, sebanyak 26,675 kes kemalangan direkodkan di lebuh raya bertol sepanjang tahun 2025, termasuk 839 kes kemalangan maut. Faktor manusia menyumbang sebanyak 85.4% daripada keseluruhan kemalangan, manakala baki 14.6% melibatkan faktor kenderaan dan persekitaran.
Pada majlis sama, LLM bersama-sama Kumpulan Tol IJM turut memperkenalkan Program Keselamatan Lebuh Raya Realiti Maya (VR) bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan murid sekolah. Pelaksanaan inisiatif ini me-nyokong usaha KKR melalui LLM dalam memacu pengurusan lebuh raya yang lebih pintar, cekap dan selamat.
- Log in to post comments