KKR PERKUKUH SINERGI STRATEGIK BERSAMA KERAJAAN NEGERI SABAH DEMI PERCEPAT PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR
KOTA KINABALU – YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), hari ini mengadakan siri kunjungan hormat kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Zainudin bin Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan YBhg. Datuk Mohd Razali bin Wahab, Setiausaha Persekutuan Sabah, dalam usaha memperkukuh sinergi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi mempercepat agenda pembangunan infrastruktur di Sabah.
Pertemuan ini memberi fokus kepada keperluan memastikan projek-projek pembangunan utama KKR, khususnya Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB Sabah), terus bergerak mengikut perancangan. Perhatian turut diberikan kepada penyelesaian isu kritikal yang boleh menjejaskan kemajuan projek termasuk pengalihan utiliti, pengambilan tanah, koordinasi rentas agensi serta keperluan mempercepat keputusan di peringkat pelaksanaan.
Bagi KKR, setiap kelewatan mempunyai kos - bukan sahaja kepada Kerajaan, tetapi kepada rakyat, ekonomi dan peluang pembangunan Sabah. Justeru, semua isu yang menjadi bottleneck perlu ditangani secara whole-of-government, dengan garis masa yang jelas, pemilik tindakan yang dikenal pasti dan susulan sehingga selesai. No issue should be left unresolved, and no decision should be left without execution.
Inilah semangat KKR Delivery Culture yang terus dibudayakan: Sense of Urgency, Sense of Responsibility, Sense of Accountability serta Follow Up, Follow Through. Kejayaan sesebuah projek tidak diukur berdasarkan berapa banyak mesyuarat yang diadakan, tetapi sejauh mana keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada kemajuan fizikal dan manfaat sebenar kepada rakyat.
KKR menghargai komitmen serta kerjasama erat Kerajaan Negeri Sabah dan seluruh jentera Persekutuan di negeri ini. Dengan kesepaduan kepimpinan, tindakan yang pantas dan akauntabiliti bersama, kita bukan sekadar membina jalan dan jambatan tetapi kita sedang membuka akses, merancakkan ekonomi, menghubungkan komuniti dan membina masa depan Sabah yang lebih sejahtera.
- Log in to post comments