AKSES TERUS LPT2 KE PELABUHAN KUANTAN DIBUKA, PERKUKUH KESALINGHUBUNGAN PANTAI TIMUR | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

AKSES TERUS LPT2 KE PELABUHAN KUANTAN DIBUKA, PERKUKUH KESALINGHUBUNGAN PANTAI TIMUR

KUANTAN, PAHANG – YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, bersama YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi, bersama

kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Ekonomi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), LPT2 Sdn. Bhd. serta agensi dan pihak berkepentingan.

Persimpangan ini menyediakan akses terus ke Pelabuhan Kuantan, MCKIP, kawasan perindustrian Gebeng dan Kuantan Port City, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan serta aktiviti perdagangan dan logistik di Pantai Timur.

Pembukaan akses baharu ini dijangka menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit, selain membantu mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT3 serta meningkatkan keselamatan dengan mengurangkan percampuran trafik berat dan trafik tempatan.

Setakat ini, sebanyak 14 syarikat telah melabur RM22.5 bilion di MCKIP sejak 2015, dengan lebih 9,100 peluang pekerjaan diwujudkan. Kesalinghubungan yang lebih baik dijangka terus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan daya saing industri di kawasan berkenaan.

Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan mula beroperasi pada 4 September 2026, jam 6.00 pagi, dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya.

Pengguna dinasihatkan memastikan baki Touch ‘n Go atau SmartTAG mencukupi serta mematuhi had laju, papan tanda dan arahan keselamatan sepanjang perjalanan.

Kerjasama antara LLM, ECERDC dan LPT2 Sdn. Bhd. dengan sokongan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh infrastruktur, kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4