PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH: KKR TEGASKAN DELIVERY CULTURE, SEGERAKAN PENYELESAIAN ISU UTILITI DAN PEMBAYARAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH: KKR TEGASKAN DELIVERY CULTURE, SEGERAKAN PENYELESAIAN ISU UTILITI DAN PEMBAYARAN

TAWAU – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Bilangan 8 Tahun 2026 yang berlangsung di sini hari ini.

Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memastikan pelaksanaan projek lebuh raya strategik berkenaan disiapkan secara pantas, selamat, berkualiti, dan berintegriti demi manfaat rakyat Sabah. Beliau menegaskan agar semua pihak pelaksana mempraktikkan KKR Delivery Culture yang berteraskan Sense of Urgency, Sense of Responsibility, Sense of Accountability, serta pendekatan Follow Up and Follow Through.

Antara perkara utama yang diberi penegasan termasuk penyelesaian isu pembayaran kepada kontraktor dan pengalihan utiliti. KKR mengarahkan pemprosesan tuntutan yang lengkap disegerakan mengikut syarat kontrak bagi memastikan aliran tunai serta momentum kerja di tapak tidak terjejas. Pihak agensi pelaksana, perunding, kontraktor, dan syarikat utiliti turut digesa bertindak sebagai satu pasukan bagi menetapkan pemilik isu dan garis masa (deadline) yang jelas untuk mengelakkan permohonan Lanjutan Masa (Extension of Time, EOT) berulang.

Sehingga kini, kemajuan fizikal Projek LPB Sabah mencatatkan pencapaian sebanyak 88.47% bagi Fasa 1A, 22.46% bagi Fasa 1B, dan 33.89% bagi Pakej Kerja WP09. Daripada keseluruhan 35 pakej kerja, sebanyak 4 pakej telah siap sepenuhnya manakala 9 pakej lagi disasarkan siap menjelang akhir tahun 2026. Fokus KKR adalah untuk mempertingkatkan pemantauan serta koordinasi rentas agensi bagi mengelakkan sebarang risiko Loss and Expenses (L&E) kepada Kerajaan.

Pelaksanaan Projek LPB Sabah merupakan prasarana penting bagi mengukuhkan ketersambungan jaringan jalan raya, merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kekal komited menterjemahkan prinsip "Less Excuses, More Execution; Less Talk, More Delivery" agar projek disiapkan secara profesional mengikut jadual (on time), kos (on cost), dan standard kualiti yang ditetapkan (on quality).

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4