MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PROJEK KHAS (TASK FORCE) PTJSD BIL. 8/2026 BERSAMA KSU KKR | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PROJEK KHAS (TASK FORCE) PTJSD BIL. 8/2026 BERSAMA KSU KKR

PULAU PINANG – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (Task Force) Bilangan 8 Tahun 2026 bagi Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Kawasan Sekitar (PTJSD) telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, bagi menyelaras pelaksanaan projek serta membincangkan perkembangan semasa dan isu-isu berbangkit.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya; YBrs. Ir. Mohd Hadzmir bin Yusoff, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); YBhg. Datuk Nik Airina Nik Jaafar, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad serta barisan pegawai kanan Kementerian dan agensi yang terlibat, termasuk wakil daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mesyuarat meneliti status kemajuan projek yang melibatkan pelbagai komponen utama termasuk kerja-kerja pembinaan, pengalihan utiliti, pengurusan tanah, perolehan serta aspek pembiayaan projek. Sehingga 23 Ogos 2026, kemajuan keseluruhan Pakej 1 merekodkan prestasi fizikal sebenar sebanyak 40.47%.

Bagi memastikan kemajuan projek kembali selaras dengan Program Kerja yang diluluskan, PLUS Malaysia Berhad telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi termasuk mempercepatkan aktiviti pembinaan secara serentak di beberapa lokasi, melaksanakan kerja pada hujung minggu serta mengoptimumkan penggunaan jentera berkapasiti tinggi bagi meningkatkan produktiviti di tapak.

KKR, LLM, PLUS Malaysia Berhad serta semua agensi berkaitan akan terus memperkukuh kerjasama dan pemantauan berterusan bagi memastikan PTJSD dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, seterusnya meningkatkan kelancaran trafik serta keselesaan pengguna di koridor utama Pulau Pinang.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan, KKR komited memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang cekap, berkualiti dan berimpak tinggi demi memperkukuh kesalinghubungan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4