IPK PERAK BAHARU, PERKHIDMATAN KESELAMATAN LEBIH CEKAP DAN BERDAYA TAHAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

IPK PERAK BAHARU, PERKHIDMATAN KESELAMATAN LEBIH CEKAP DAN BERDAYA TAHAN

KUALA LUMPUR – Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pegawai Penguasa bagi Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Perumahan.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Ketua Pengarah Kerja Raya dan YBrs. Tuan Jafrizul bin Jamhari, Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Projek bernilai RM366 juta ini akan dilaksanakan dalam tempoh 42 bulan dan dijangka siap pada Februari 2030. IPK Perak baharu akan dibangunkan di atas tapak seluas 25 ekar, bersebelahan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru, Ipoh.

Pembinaan kompleks baharu ini amat penting memandangkan IPK Perak sedia ada telah berusia 58 tahun, selain berada dalam keadaan usang dan tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih secara menyeluruh. Kompleks baharu ini akan menghimpunkan pejabat-pejabat IPK dalam satu kawasan bagi meningkatkan keberkesanan penugasan, memperkukuh command and control serta memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

Dari aspek keberkesanan operasi, projek ini menyasarkan pengurangan indeks jenayah sebanyak 5% setiap tahun serta penambahbaikan masa bertindak polis daripada 15 minit kepada 10 minit. Penyediaan 84 unit kuarters pula akan meningkatkan bilangan anggota yang mendiami kuarters daripada 0% kepada 6.7% daripada keseluruhan 1,261 perjawatan.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2025, JKR Malaysia telah mengeluarkan 17 SST bernilai RM292.8 juta bagi pelaksanaan projek-projek di bawah KDN.

KKR dan JKR Malaysia terus komited memastikan pembangunan infrastruktur awam negara dilaksanakan secara berkesan, berdaya tahan dan memenuhi keperluan semasa demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat, selaras dengan agenda pembangunan Kerajaan MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4