MAJLIS PRA PELANCARAN 13th MALAYSIAN ROAD CONFERENCE AND EXHIBITION 2026 SERTA 6th INTERNATIONAL ROAD FEDERATION GLOBAL ASIA-PACIFIC REGIONAL CONGRESS | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS PRA PELANCARAN 13th MALAYSIAN ROAD CONFERENCE AND EXHIBITION 2026 SERTA 6th INTERNATIONAL ROAD FEDERATION GLOBAL ASIA-PACIFIC REGIONAL CONGRESS

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan hari ini merasmikan Majlis Pra Pelancaran 13th Malaysian Road Conference and Exhibition 2026 (MRC 2026) serta 6th International Road Federation Global Asia-Pacific Regional Congress di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Majlis pra pelancaran ini menjadi platform penghebahan awal bagi penganjuran MRC 2026 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Oktober 2026 di WTCKL, bertemakan “Transforming the Nation Through Future Ready Roads”.

Persidangan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan yang berdaya tahan, mampan dan lestari, seiring dengan keperluan pembangunan negara serta cabaran landskap infrastruktur yang semakin kompleks. Penganjuran kali ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.

MRC 2026 turut menghimpunkan kira-kira 100 pembentang kertas kerja teknikal bagi berkongsi kepakaran, pengalaman serta perkembangan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang kejuruteraan jalan. Sebanyak 109 ruang pameran juga disediakan bagi mengetengahkan teknologi, produk dan penyelesaian inovatif dalam sektor jalan raya.

Selain itu, program Young Engineers and Professionals (YEP) akan memberi peluang kepada jurutera muda dan golongan profesional untuk memperluas pengetahuan serta jaringan kerjaya. Penuntut institusi pengajian tinggi pula berpeluang mengetengahkan hasil inovasi dan produk akademik masing-masing menerusi Malaysia Road Conference Invention & Innovation Exhibition 2026 (MRC-IIE 2026).

Peserta turut berpeluang menyertai program lawatan teknikal ke empat projek infrastruktur strategik negara, sekali gus memberikan pendedahan secara langsung terhadap perkembangan dan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur semasa.

Secara keseluruhannya, penganjuran MRC 2026 diyakini dapat memperkukuh perkongsian ilmu, kepakaran dan jaringan kerjasama di peringkat tempatan serta antarabangsa, di samping membuka ruang lebih luas untuk mengangkat teknologi dan inovasi kejuruteraan jalan Malaysia ke peringkat global.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian Kerja Raya untuk memastikan pengurusan dan pembangunan aset jalan negara terus berkualiti, berdaya tahan dan lestari, demi manfaat serta kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4