CIDB PERKENAL PANDUAN AMALAN TERBAIK PENGURUSAN FASILITI UNTUK PERKUKUH INDUSTRI PEMBINAAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

CIDB PERKENAL PANDUAN AMALAN TERBAIK PENGURUSAN FASILITI UNTUK PERKUKUH INDUSTRI PEMBINAAN

BUTTERWORTH – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terus memperkukuh tadbir urus dan profesionalisme industri pembinaan menerusi pelancaran CIS 33:2026 – Facility Management Good Practice Guide, panduan amalan terbaik Pengurusan Fasiliti (FM) yang dibangunkan khusus mengikut konteks industri pembinaan Malaysia.

Pelancaran panduan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, bersempena Konvensyen Kontraktor 2026: NexGen Builders – Pembina Generasi Baharu di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, Pulau Pinang.

CIS 33:2026 menyediakan kerangka pengurusan fasiliti dan aset yang lebih jelas, seragam dan sistematik, dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa termasuk ISO 41001 bagi Pengurusan Fasiliti, ISO 55001 bagi Pengurusan Aset dan ISO 50001 bagi Pengurusan Tenaga serta disesuaikan dengan keperluan dan amalan tempatan.

Pembangunan panduan ini selari dengan aspirasi Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030), khususnya usaha membangunkan piawaian pengurusan aset dan fasiliti di Malaysia. Pelaksanaannya dijangka membantu industri beralih daripada pendekatan penyenggaraan tradisional kepada pengurusan aset yang lebih strategik, berasaskan prestasi, profesional dan mampan, termasuk mengambil kira kos kitar hayat aset.

Panduan ini dibangunkan secara kolaboratif dengan penglibatan kerajaan, industri, akademia dan badan profesional, termasuk Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Standard Malaysia (JSM), persatuan pengurusan fasiliti serta institusi pengajian tinggi dan pemain industri.

Sementara itu, Konvensyen Kontraktor 2026 yang memasuki penganjuran kali keempat menghimpunkan lebih 400 kontraktor, pemain industri, agensi kerajaan dan rakan strategik bagi memperkukuh perkongsian ilmu, jaringan industri serta penerokaan peluang baharu dalam sektor pembinaan.

Konvensyen yang berlangsung bersempena International Construction Week (ICW) 2026 turut mengetengahkan pelbagai perkembangan dan projek strategik industri pembinaan, termasuk Construction Action Plan 2026–2030 (CAP30), Perlis Inland Port, Projek LRT Mutiara, pembinaan lestari serta pengurusan fasiliti.

KKR akan terus memastikan pembangunan industri pembinaan negara dilaksanakan secara lebih berdaya saing, berinovasi, berkualiti dan mampan, selaras dengan agenda Kerajaan MADANI serta keperluan pembangunan infrastruktur negara yang memberi manfaat kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7