MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN BAHARU SEKOLAH MENENGAH BERASRAMA PENUH INTEGRASI TANAH MERAH | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN BAHARU SEKOLAH MENENGAH BERASRAMA PENUH INTEGRASI TANAH MERAH

TANAH MERAH – Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini secara rasmi menyerahkan Projek Pembinaan Baharu Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah, Daerah Tanah Merah, Kelantan kepada Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan.

Majlis ini membuktikan kejayaan pelaksanaan sebuah projek pembangunan pendidikan yang menjadi antara inisiatif strategik Kerajaan dalam memperkukuh penyediaan infrastruktur pendidikan negara.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini berjaya disiapkan mengikut keperluan kontrak serta memenuhi piawaian teknikal, keselamatan dan kualiti yang telah ditetapkan. Penyerahan projek ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan awam dilaksanakan secara cekap, berintegriti dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat.

Sekolah ini dibangunkan dengan kemudahan pendidikan yang moden, kondusif dan menyeluruh bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Antara kemudahan yang disediakan ialah blok akademik, makmal & bengkel, bangunan pentadbiran, asrama putera dan puteri, dewan makan, surau, dewan serbaguna, kuarters guru serta pelbagai kemudahan sokongan yang lengkap bagi memenuhi keperluan warga sekolah.

Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur pendidikan berkualiti merupakan pelaburan jangka panjang negara dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini, khususnya KPM, JKR Negeri Kelantan, agensi-agensi teknikal, kerajaan negeri, pihak kontraktor Cakna Enterprise Sdn. Bhd. serta seluruh pasukan projek yang telah memberikan komitmen tinggi sepanjang tempoh pelaksanaan.

Beliau turut menekankan bahawa setiap projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) bukan sahaja perlu disiapkan mengikut tempoh dan kos yang ditetapkan, malah hendaklah memenuhi standard kualiti, keselamatan dan kemampanan yang tinggi supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat untuk jangka masa panjang.

Penyerahan projek ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan di negeri Kelantan dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar-pelajar cemerlang dari seluruh negara. Kemudahan ini juga akan memperkukuh usaha KPM dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti serta melahirkan generasi yang memiliki kecemerlangan akademik, sahsiah, kepimpinan dan inovasi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5