MAJLIS PENYERAHAN PERDANA PROJEK SIAP MENDAHULUI JADUAL OLEH JABATAN KERJA RAYA NEGERI TERENGGANU KEPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS PENYERAHAN PERDANA PROJEK SIAP MENDAHULUI JADUAL OLEH JABATAN KERJA RAYA NEGERI TERENGGANU KEPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN

KUALA TERENGGANU - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui JKR Negeri Terengganu secara rasmi menyerahkan 14 buah projek pembangunan aset pendidikan yang disiapkan mendahului jadual atau Ahead of Time (AOT) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini, di Dewan Mimar Sinan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya kepada Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara kementerian dalam memacu pembangunan infrastruktur awam. 

Penyerahan perdana ini melibatkan kos kontrak berjumlah RM34 juta bagi 14 sekolah. Kesemua projek tersebut berjaya disiapkan dengan rekod penjimatan masa kumulatif selama 986 hari (atau 2.7 tahun) lebih awal daripada jadual asal. Prestasi penyiapan mendahului keluk masa ini membolehkan kemudahan dan ruang pembelajaran yang kondusif dimanfaatkan segera oleh pihak sekolah, sekali gus mengoptimumkan kelancaran sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar di negeri ini.

Secara keseluruhan, JKR Negeri Terengganu sedang menyelia 111 projek KPM bernilai RM302 juta. Skop pelaksanaan komprehensif ini merangkumi pembinaan dewan serbaguna terbuka berbumbung di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13, Program Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi, serta penyelenggaraan bersepadu prasarana sedia ada. Ia turut memfokuskan pembinaan bilik darjah tambahan menerusi Inisiatif Quick Win Cakna MADANI yang mengaplikasikan kaedah Modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai persediaan strategik kemasukan murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027.

Bagi tempoh Januari 2025 hingga Ogos 2026, JKR Terengganu menyiapkan 37 projek bernilai RM85 juta dengan rekod penyiapan kumulatif awal sebanyak 2,697 hari, dengan setiap projek disiapkan purata 72 hari lebih awal. Secara strategiknya, penyiapan awal projek-projek infrastruktur pendidikan ini amat kritikal dalam menyumbang kepada sasaran kerajaan untuk merealisasikan dasar persekolahan satu sesi menjelang tahun 2030. 

Pada masa yang sama, kejayaan pematuhan masa dan kualiti ini membuktikan tahap kecekapan tadbir urus awam serta ketelusan pengurusan peruntukan yang diamalkan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI. JKR dan KPM akan terus berkolaborasi rapat bagi memastikan penyediaan prasarana yang mampan, selamat, dan berkualiti tinggi sentiasa menjadi keutamaan demi pembangunan modal insan negara yang cemerlang.

KKR dan JKR Malaysia sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang berkualiti bagi menyokong pembangunan dan kecemerlangan pendidikan negara.

 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6