JKR PERKASAKAN BUDAYA INOVASI DEMI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN YANG LEBIH CEKAP | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

JKR PERKASAKAN BUDAYA INOVASI DEMI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN YANG LEBIH CEKAP

ALOR GAJAH - Inovasi bukan sekadar mencipta sesuatu yang baharu, tetapi bagaimana idea dan kreativiti diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak sebenar kepada rakyat

Hari ini, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JKR Malaysia Tahun 2026 di CREaTE, Alor Gajah, Melaka.

Bertemakan “Upload Excellence, Download Glory, At The Nexus”, konvensyen edisi ke-9 ini menghimpunkan 54 penyertaan daripada Cawangan Ibu Pejabat JKR, JKR Negeri dan JKR Daerah yang mengetengahkan pelbagai inovasi dalam aspek proses kerja, produktiviti, pengurusan aset, pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kejuruteraan.

Lebih membanggakan, inovasi warga JKR bukan sekadar dipertandingkan, malah beberapa daripadanya telah berjaya dibawa ke peringkat komersial, antaranya Tongue and Groove Shaped Drain, GAPSO, SimPLE, Polidra-C, Flexrevive, Solar Wireless Pedestrian System (SWPS) dan BINAXONE.

Ini membuktikan bahawa kreativiti warga JKR mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang berpotensi meningkatkan keselamatan pengguna, kecekapan pengurusan projek, produktiviti sektor pembinaan serta pengoptimuman kos.

Dalam majlis yang sama, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan hadiah kepada kumpulan-kumpulan pemenang sebagai penghargaan atas idea, kreativiti dan inovasi yang dihasilkan.

Bagi KKR dan JKR, inovasi bukan sekadar pertandingan. Ia perlu menjadi budaya kerja yang terus diperkasa melalui penggunaan teknologi baharu, pengoptimuman sumber serta kerjasama strategik bersama industri dan institusi penyelidikan.

Kerana akhirnya, setiap inovasi yang dihasilkan mempunyai satu matlamat utama: menjadikan penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap, berkualiti dan memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5