SESI AMANAT KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KERJA RAYA BERSAMA PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK BAHARU DI KEMENTERIAN KERJA RAYA
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya menganjurkan Sesi Amanat Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bersama-sama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) baharu bertempat di Bilik Seroja, Kompleks Kerja Raya. Sesi ini menjadi platform strategik bagi menyampaikan hala tuju organisasi, memperkasa modal insan, serta memantapkan komitmen penjawat awam dalam menyokong agenda pembangunan infrastruktur negara.
Dalam amanatnya, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim menegaskan peranan penting pegawai PTD sebagai penggerak dasar yang berwibawa dalam menguruskan pembinaan serta penyelenggaraan aset awam. Beliau mementingkan budaya kerja berintegriti, profesionalisme, serta penerapan nilai Malaysia MADANI, di samping menggesa pegawai baharu agar sentiasa berinovasi dan menguasai teknologi digital selaras dengan perkembangan sektor pembinaan moden.
KKR yakin bahawa suntikan tenaga dan bakat baharu ini akan memberi nilai tambah yang signifikan kepada kecekapan organisasi. Penglibatan pegawai PTD baharu ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi iltizam kementerian di bawah kepimpinan YBhg. Dato’ Seri KSU dalam menyediakan infrastruktur berkualiti tinggi demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.
- Log in to post comments