KKR PERKASA INOVASI PENCERAHAN JALAN RAYA, PACU INFRASTRUKTUR PINTAR DAN LESTARI
KAPAR – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus meneroka dan memperkukuh penerapan teknologi serta inovasi dalam pembangunan infrastruktur negara bagi memastikan kemudahan awam yang disediakan bukan sahaja selamat dan berkualiti, malah lebih cekap, pintar dan lestari.
Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini mengadakan lawatan kerja ke SBC Lighting Sdn. Bhd., Kapar, Selangor bagi meninjau secara dekat teknologi dan keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan penyelesaian pencahayaan jalan raya serta teknologi bandar pintar.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada perkembangan Road Lighting LED, Solar LED, Smart Lighting serta sistem pengurusan bandar pintar yang berpotensi menyokong usaha kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya, kecekapan penggunaan tenaga dan keberkesanan pengurusan infrastruktur.
YB Menteri turut meninjau fasiliti pembuatan termasuk Production Line Road Lighting LED, pemasangan lampu Solar LED serta Makmal Pengujian dan Quality Control bagi melihat sendiri aspek pengeluaran, pengujian dan kawalan kualiti produk sebelum digunakan dalam persekitaran sebenar.
Selain itu, beliau turut menyaksikan demonstrasi Smart Lighting dan PEAK Smart City Platform yang mengetengahkan penggunaan teknologi pintar bagi membolehkan pencahayaan dan infrastruktur dipantau serta diurus secara lebih sistematik dan cekap.
KKR melihat teknologi pencahayaan pintar sebagai antara elemen penting dalam evolusi infrastruktur jalan raya negara. Penggunaan teknologi yang bersesuaian bukan sahaja berpotensi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, malah dapat menyumbang kepada pengoptimuman tenaga serta pengurangan kos operasi dan penyelenggaraan dalam jangka panjang.
Dalam masa yang sama, KKR komited untuk terus membuka ruang kepada inovasi, penyelidikan dan kepakaran industri tempatan dalam memperkukuh ekosistem infrastruktur negara. Kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal dan pemain industri amat penting bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang praktikal, berimpak dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Langkah ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membangunkan infrastruktur yang lebih pintar, selamat, cekap, berdaya tahan dan lestari, di samping memperkukuh keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan teknologi bernilai tinggi.
KKR akan terus memastikan setiap kemajuan teknologi yang diterapkan dalam sektor infrastruktur diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat – jalan raya yang lebih selamat, pengurusan yang lebih cekap dan persekitaran yang lebih lestari.
- Log in to post comments