3,500 PESERTA SAHUT CABARAN CULTURAL NIGHT RUN @ PENANG 2ND BRIDGE 2026 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

3,500 PESERTA SAHUT CABARAN CULTURAL NIGHT RUN @ PENANG 2ND BRIDGE 2026

PULAU PINANG – Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge 2026 (CNR2026) telah dianjurkan bersama oleh Koperasi LLM Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), yang berjaya menghimpunkan kira-kira 3,500 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadikannya antara acara larian malam berprestij yang dinanti-nantikan di Pulau Pinang. Program edisi kelima ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, yang turut melepaskan peserta bagi kategori utama serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang.  

Turut hadir bersama-sama adalah YBhg. Datuk Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha KKR, YBrs. Ir. Mohd. Hadzmir bin Yusoff , Ketua Pengarah LLM dan YBhg.  Dato’ Idrus bin Mat Tais, Pengerusi KLLMB.

Penganjuran CNR2026 dijayakan dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA, Persatuan Olahraga Amatur Negeri Pulau Pinang (P.A.A.A.), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) serta pelbagai agensi kerajaan, syarikat korporat dan rakan strategik yang lain. 

Acara yang berlangsung bermula jam 9.00 malam hingga 1.30 pagi itu mempertandingkan kategori 21 kilometer (21KM), 10 kilometer (10KM) dan 5 kilometer (5KM) Cultural Fun Run. Laluan larian bermula di Klippa Shopping Centre, Bandar Cassia, Batu Kawan dan merentasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, sekali gus menawarkan pengalaman larian malam yang unik di salah sebuah mercu tanda kejuruteraan negara. 

Penganjuran CNR2026 bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan budaya. Program ini turut menyokong usaha mempromosikan pelancongan domestik dan antarabangsa bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping mengetengahkan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai destinasi ikonik bagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa. 

Bagi memeriahkan lagi penganjuran, pihak penganjur menawarkan hadiah wang tunai dan hadiah iringan bernilai keseluruhan RM34,050.00, termasuk hadiah bagi kategori pakaian tradisional tercantik dan paling unik serta pelbagai hadiah cabutan bertuah. Setiap peserta yang berdaftar turut menerima kit penyertaan yang mengandungi tshirt rasmi, pingat penamat, e-sijil dan pelbagai cenderamata daripada pihak penaja. 

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata kejayaan penganjuran CNR2026 mencerminkan komitmen serta kerjasama erat antara kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan strategik dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat. Menurut beliau, sinergi tersebut bukan sahaja menyumbang kepada kelancaran penganjuran acara, malah memperkukuh usaha mempromosikan gaya hidup sihat, memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat serta mengangkat Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai salah satu ikon kebanggaan negara. 

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penaja, rakan strategik, agensi kerajaan, syarikat korporat, sukarelawan, petugas, pihak berkuasa keselamatan, pihak media serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge 2026. Komitmen dan semangat kerjasama yang ditunjukkan menjadi pemangkin kepada kejayaan penganjuran program ini, sekali gus membuktikan bahawa kolaborasi strategik antara pelbagai pihak mampu melahirkan program berkualiti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7