KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI ALOR GAJAH, MELAKA, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI ALOR GAJAH, MELAKA, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA

ALOR GAJAH, MELAKA - Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, hari ini turun padang bersama pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah bagi meninjau pelaksanaan projek pembangunan serta menilai penyampaian perkhidmatan infrastruktur kepada masyarakat setempat.

Lawatan ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan dan penyelenggaraan jalan, jambatan, bangunan awam serta fasiliti pendidikan dilaksanakan secara berkesan, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat.

JKR Daerah Alor Gajah bertanggungjawab menyelenggara 10 laluan Jalan Persekutuan sepanjang 108.81 kilometer (km), Jalan Utama Negeri sepanjang 214.007 km serta Jalan Sekunder Negeri sepanjang 174.403 km. Skop penyelenggaraan merangkumi kerja-kerja rutin dan berkala bagi jalan berturap dan tidak berturap, sistem saliran, pembentung serta cerun.

Sehingga Julai 2026, sebanyak RM6.82 juta telah diperuntukkan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan, meliputi kerja-kerja pembaikan jalan, penyelenggaraan sistem perparitan, pengecatan semula garisan jalan serta pembaikan jambatan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM750,000 diperuntukkan bagi rawatan di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan. Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan laluan Jalan Persekutuan sentiasa berada dalam keadaan selesa dan selamat demi kepentingan pengguna jalan raya.

Pada masa yang sama, satu (1) projek naik taraf Jalan Persekutuan, iaitu Projek Naik Taraf Jalan dari Bulatan Tol Simpang Ampat (Seksyen 62.50) ke Lebuh AMJ (Seksyen 61.90), Jalan FT019, dengan kos siling sebanyak RM30.0 juta, sedang dilaksanakan.

Kerajaan Persekutuan turut meluluskan satu (1) projek bagi menangani kawasan hotspot banjir di bawah RMK-13 Rolling Plan 1, iaitu Projek Naik Taraf Crossing Culvert Seksyen 270.20 hingga 271.00, Jalan FT005 Lubok China, Alor Gajah, dengan kos siling sebanyak RM3.0 juta. Projek ini kini berada pada peringkat reka bentuk.

Dalam aspek pembangunan bangunan awam, sebanyak lima (5) Projek Bangunan Persekutuan bernilai RM22.6 juta sedang dilaksanakan oleh JKR Daerah Alor Gajah. Projek berkenaan melibatkan pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah dan Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi, pembinaan bangunan gantian kantin di Sekolah Ramuan Cina Besar, pembinaan dan penyiapan Masjid Lesung Batu serta menaik taraf kemudahan latihan bagi Jabatan Hospitaliti di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah.

Projek Bangunan Persekutuan turut merangkumi Pembinaan Bilik Darjah Tambahan Tahun 1 Sesi 2027 di bawah Program Cakna MADANI yang melibatkan 14 buah sekolah di Daerah Alor Gajah, dengan jumlah kos projek sebanyak RM12.05 juta.

Selain itu, JKR Daerah Alor Gajah turut melaksanakan Program Pembinaan Baharu Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB) dan Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung di dua (2) buah sekolah dengan nilai projek sebanyak RM1.83 juta.

Sebanyak RM5.1 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Bangunan Persekutuan yang melibatkan agensi pelanggan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKR kekal komited memastikan setiap projek yang dilaksanakan menepati jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan setempat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6