MBAM ONEBUILD 2026 KEMBALI MENGHIMPUNKAN KOMUNITI PEMBINAAN DAN INFRASTRUKTUR
KUALA LUMPUR - Industri pembinaan merupakan antara pemacu utama pembangunan negara. Seiring dengan kemajuan teknologi dan keperluan terhadap penyelesaian yang lebih cekap serta mampan, platform perkongsian ilmu dan inovasi seperti MBAM OneBuild 2026 memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem industri.
Hari ini Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian MBAM OneBuild 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Ogos 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Edisi kali ke-12 ini menghimpunkan lebih 250 pempamer, 400 reruai pameran serta dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung perdagangan daripada pelbagai sektor pembinaan, infrastruktur dan perkakasan.
Bertemakan "Smart Cities Building Tomorrow", MBAM OneBuild 2026 menampilkan pelbagai teknologi dan inovasi terkini termasuk Building Information Modelling (BIM), teknologi pembinaan digital, infrastruktur berasaskan Internet of Things (IoT), bangunan hijau yang cekap tenaga serta penyelesaian mobiliti pintar, sekali gus memperkukuh usaha ke arah pembangunan bandar yang lebih pintar dan mampan.
Warga Kementerian Kerja Raya (KKR), agensi di bawahnya serta pemain industri dijemput hadir untuk meneroka teknologi baharu, memperluas jaringan kerjasama dan bersama-sama memacu transformasi industri pembinaan negara.
- Log in to post comments