KKR PERKUKUH PERKHIDMATAN BERIMPAK DAN METERAI MOU INTEGRITI BERSAMA IIM
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) Edisi Ogos 2026 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid pagi tadi menghimpunkan warga KKR bersama Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, barisan Pengurusan Tertinggi KKR serta agensi-agensi di bawah kementerian.
Majlis dimulakan dengan ceramah inspirasi bertajuk "Minda Juara Penjawat Awam: Penyampaian Berimpak, Rakyat Yakin, Negara Sejahtera" yang disampaikan oleh Tuan Amin Idris, sebelum diteruskan dengan upacara simbolik pemotongan riben sempena Penyerahan Bas Baharu Kementerian Kerja Raya.
Mengangkat tema "Penyampaian Berimpak: Rakyat Yakin, Negara Sejahtera", perhimpunan kali ini menjadi medan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan memperbaharui iltizam seluruh warga KKR dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Turut berlangsung ialah Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dalam membudayakan integriti, memperkasakan tadbir urus yang baik serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkesan.
Dalam amanatnya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi mengingatkan bahawa setiap jalan yang dibina, setiap sekolah yang disiapkan dan setiap hospital yang dinaik taraf bukan sekadar projek pembangunan, tetapi amanah yang membawa kesan besar kepada kehidupan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan diukur melalui banyaknya mesyuarat atau dasar yang diumumkan, sebaliknya melalui hasil kerja yang dapat dilihat, dirasai dan memberi manfaat kepada rakyat.
Mengakhiri amanatnya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi menyeru seluruh warga KKR agar menghayati prinsip "Less Excuses. More Execution." dengan mengurangkan alasan, mempercepat pelaksanaan, mencari penyelesaian terbaik dan memastikan setiap amanah yang digalas diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Sesungguhnya, kepercayaan rakyat tidak dibina melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan yang konsisten, penyampaian yang berkesan dan hasil kerja yang memberi impak kepada kesejahteraan negara.
- Log in to post comments