LAWATAN KERJA KE SABAH: MENTERI KERJA RAYA TINJAU KEMAJUAN LPB SABAH FASA 1 & PENGOPERASIAN MKRM SABAH
KOTA KINABALU – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua (2) hari ke Sabah bagi meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 serta penambahbaikan Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM) Sabah.
MKRM Sabah yang dinaik taraf dengan peruntukan RM19.4 juta melalui Kementerian Ekonomi kini dilengkapi kemudahan pengujian moden di bawah seliaan CREAM, CIDB Malaysia bagi menyokong keperluan industri pembinaan di Sabah dan Sarawak tanpa perlu menghantar sampel ke Semenanjung Malaysia. Sehingga kini, lebih 1,400 pengujian bahan binaan telah dilaksanakan dan makmal ini diiktiraf di bawah piawaian MS ISO/IEC 17025:2017 dan ILAC-MRA.
Dalam tinjauan LPB Sabah Fasa 1, YB Menteri memberi tumpuan kepada WP11 (Rampayan Laut–Sarang) yang kini mencatat kemajuan fizikal 61.76 peratus, serta WP05 (Papar–Donggongon) yang telah siap sepenuhnya pada 9 Ogos 2024 dan dibuka kepada pengguna.
Sehingga kini, empat (4) daripada 35 Pakej Kerja LPB Sabah Fasa 1 telah siap sepenuhnya. KKR menyasarkan dua (2) lagi pakej iaitu WP03 (Beaufort–Bongawan) dan WP04 (Bongawan–Papar) disiapkan pada tahun ini.
KKR menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk agensi Kerajaan Negeri dan syarikat utiliti bagi memastikan Projek LPB Sabah dapat disiapkan mengikut jadual, berkualiti serta memberi manfaat kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
- Log in to post comments