LAWATAN KERJA YB MENTERI KERJA RAYA: PROJEK NAIK TARAF JALAN FT209 DAN FT131 DI KOTA BHARU DIJANGKA SIAP SEPTEMBER 2027 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

LAWATAN KERJA YB MENTERI KERJA RAYA: PROJEK NAIK TARAF JALAN FT209 DAN FT131 DI KOTA BHARU DIJANGKA SIAP SEPTEMBER 2027

KOTA BHARU – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, telah menyempurnakan Lawatan Kerja ke Projek Menaiktaraf Jalan FT209 dan FT131 (Jalan Raja Perempuan Zainab II), dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor, Kota Bharu. Projek sepanjang 6.0 km yang melibatkan nilai kontrak sebanyak RM191 juta ini mencatatkan kemajuan fizikal semasa sebanyak 71.61% dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 8 September 2027.

Pelaksanaan projek ini amat kritikal dan strategik memandangkan laluan sedia ada dari Kubang Kerian ke Sabak dan Pengkalan Chepa kini berada pada tahap kesesakan harian yang amat meruncing (LOS F). Faktor jalan yang sempit, kewujudan sekolah, pusat perdagangan, serta Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sepanjang jajaran menyumbang kepada kepadatan trafik. Selain itu, laluan ini merupakan nadi utama ke pusat perindustrian Pengkalan Chepa dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Tujuan utama projek ini adalah untuk mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT131, memendekkan tempoh perjalanan, serta menyediakan infrastruktur yang lebih selamat dan selesa. Langkah ini penting bagi menampung peningkatan jumlah trafik ekoran pembangunan pesat di Kubang Kerian, yang merupakan bandar kedua terbesar di Kota Bharu.

Projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur yang efisien dan inklusif demi merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat. Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) kekal komited memberikan keutamaan kepada projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada keselesaan dan keselamatan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4