pH JKR DAY 2026 PERKUKUH STANDARD, PERKASA KELESTARIAN INFRASTRUKTUR NEGARA | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

pH JKR DAY 2026 PERKUKUH STANDARD, PERKASA KELESTARIAN INFRASTRUKTUR NEGARA

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini merasmikan Program pH JKR Day 2026 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Bertemakan “Standard Diperkukuh, Kelestarian Diperkasa”, program ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran JKR Greenday yang bertujuan memperkukuh budaya pembangunan lestari dalam sektor pembinaan dan menyokong agenda pembinaan hijau negara. Program ini juga menjadi sebahagian daripada pengisian sempena Hari Profesion Teknikal Negara 2026 (HPTN 2026).

Majlis turut menyaksikan pelancaran tiga inisiatif strategik JKR, iaitu Polisi Pembangunan Lestari JKR, Standard JKR/SIRIM 2:2025 pH JKR Bangunan dan Sistem e-pH JKR bagi memperkukuh tadbir urus pembangunan mampan, menyeragamkan penarafan hijau serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan.

Program ini turut mengiktiraf kecemerlangan warga JKR menerusi penyampaian Anugerah Kelestarian kepada projek yang mencapai Penarafan Hijau JKR (pH JKR) empat bintang dan ke atas bagi tahun 2025 serta pelantikan Champion Lestari JKR sebagai ejen perubahan dalam memperluaskan amalan pembangunan lestari.

Penganjuran pH JKR Day 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kerja Raya dan JKR Malaysia dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur yang lebih mampan, berdaya tahan dan mesra alam, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI serta komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim dan pembangunan rendah karbon.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4