KOLABORASI STRATEGIK KKR DAN JKR MELALUI PENGANJURAN MRGEC2026 DEMI MASA DEPAN KEJURUTERAAN NEGARA | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KOLABORASI STRATEGIK KKR DAN JKR MELALUI PENGANJURAN MRGEC2026 DEMI MASA DEPAN KEJURUTERAAN NEGARA

KUCHING – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melakar sejarah baharu apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran 1st Malaysian Regional Geotechnical Engineering Conference 2026 (MRGEC2026). Persidangan berprestij yang berlangsung dari 17 hingga 19 Jun 2026 di The Imperial Hotel, Kuching ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), JKR Malaysia, JKR Sarawak, dan JKR Sabah.  

Persidangan bertemakan "Resilient Ground, Sustainable Future" ini berjaya menghimpunkan lebih 700 pakar profesional, ahli akademik, penyelidik, dan pemain industri geoteknikal dari dalam serta luar negara. Acara ini turut menampilkan 33 penceramah pakar serta 45 tapak pameran industri. Fokus utama persidangan tertumpu kepada empat bidang kritikal iaitu inovasi dan siasatan tapak, kestabilan cerun dan tanah runtuh, asas bangunan (foundation), serta pembaikan tanah (ground improvement).  

Penganjuran MRGEC2026 bertujuan menyediakan platform perkongsian inovasi, teknologi moden, dan amalan terbaik bagi memastikan penyelesaian isu geoteknikal dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan. Selain itu, ia berfungsi memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan institusi pendidikan. Langkah ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan JKR dalam memajukan industri kejuruteraan tempatan agar terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.  

Sebagai pengisian praktikal pada hari ketiga persidangan (19 Jun 2026), para peserta akan menyertai Lawatan Teknikal ke Tapak Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat, Kuching. Lawatan ini memberi peluang keemasan kepada peserta untuk melihat sendiri kaedah pembinaan, pengurusan teknikal, dan penyelesaian geoteknikal yang diaplikasikan pada projek impak tinggi tersebut yang bertujuan untuk memperkukuh jaringan jalan raya serta sosioekonomi Sarawak.  

Secara keseluruhannya, kejayaan penganjuran MRGEC2026 ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan tinggi JKR Sarawak dalam mengendalikan acara teknikal berskala besar, malah memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah organisasi yang komited terhadap kecemerlangan, inovasi, dan pembangunan kejuruteraan yang mampan demi masa depan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5