YANG BERHORMAT TIMBALAN MENTERI KKR SEMPURNAKAN PENYERAHAN PROJEK JALAN BAHARU DI SERENDAH
SERENDAH – Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan Baharu dari Jalan Persekutuan FT3208 ke Jalan 132 Kaki di kawasan UMW High Value Manufacturing Park (UMW HVMP), Serendah, Selangor. Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil agensi pelaksana serta pihak berkepentingan. Turut hadir bersama YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan).
Pelaksanaan projek ini merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya negara bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta memperkasa pembangunan kawasan perindustrian strategik di utara Selangor.
Projek yang dilaksanakan secara konvensional dalaman ini melibatkan kos sebanyak RM78.8 juta. Pembangunan pesat kawasan industri di Serendah, khususnya di UMW High Value Manufacturing Park (UMW HVMP), telah mewujudkan keperluan mendesak terhadap sistem rangkaian jalan raya yang lebih cekap, selamat dan berkapasiti tinggi.
Pembinaan jalan baharu ini dijangka dapat menyediakan akses yang lebih langsung dan efisien ke kawasan industri, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan sedia ada serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya. Projek ini juga diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan menarik lebih banyak pelaburan industri ke kawasan Hulu Selangor.
Penyerahan projek ini mencerminkan kejayaan hasil sinergi dan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, pihak kontraktor serta semua pihak berkepentingan dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Kerajaan akan terus komited dalam memperkasa pembangunan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negara, sekali gus memastikan kemudahan yang disediakan memberi manfaat optimum kepada rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
- Log in to post comments