KSU KEMENTERIAN KERJA RAYA TINJAU PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO (LBP) SABAH, DAPAT DISIAPKAN MENGIKUT JADUAL | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KSU KEMENTERIAN KERJA RAYA TINJAU PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO (LBP) SABAH, DAPAT DISIAPKAN MENGIKUT JADUAL

TAWAU – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah disiapkan mengikut jadual. Turut hadir sama dalam siri lawatan ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KKR, YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid. Siri lawatan susulan ke lima Pakej Kerja (WP16 - WP20) dari Tawau ke Lahad Datu ini bertujuan memantau prestasi kontraktor serta syarikat utiliti agar setiap janji kemajuan dikotakan sepenuhnya.

Lawatan kerja ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, YBhg. Datuk Ridhwan Roger Linus dan Pengarah Kerja Raya Sabah, Tuan Baharuhom bin K.K Sogon. Fokus utama lawatan adalah melibatkan penyelarasan utiliti secara terus di tapak bina bersama pengurusan tertinggi syarikat penyedia seperti SESB, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, Celcom Timur, Maxis, SEDCOMM dan Jabatan Air Negeri Sabah bagi menamatkan sebarang isu teknikal berulang yang sering menghalang kelancaran kerja fizikal di lapangan.

Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bil. 4/2026, arahan tegas telah dikeluarkan kepada Pegawai Penguasa untuk memperketat pemantauan tanpa kompromi. KKR tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik, termasuk mengesyorkan penamatan kontrak terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal menunjukkan prestasi atau culas dalam memenuhi garis masa yang ditetapkan demi kepentingan rakyat.

Inisiatif "turun padang" ini merupakan manifestasi akauntabiliti KKR dalam memastikan projek berimpak tinggi ini tidak lagi tergendala. Sinergi padu antara kontraktor, agensi kerajaan pusat dan negeri, serta penyedia utiliti adalah kunci utama bagi menjamin ketersediaan lebuh raya yang moden, selamat, dan selesa untuk kegunaan rakyat Sabah.

Semua usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya, di mana pembangunan infrastruktur rakyat menjadi keutamaan demi kesejahteraan ekonomi dan sosial yang mampan di Negeri Di Bawah Bayu.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4