LAWATAN KERJA RASMI TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE CIDB NEGERI SARAWAK PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI PEMBINAAN TEMPATAN | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

LAWATAN KERJA RASMI TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE CIDB NEGERI SARAWAK PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI PEMBINAAN TEMPATAN

KUCHING – Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Negeri Sarawak yang terletak di Kuching. Kehadiran beliau disambut oleh Pengarah CIDB Negeri Sarawak, YBrs. Tuan Ts. Br. Rosmen Ag Hassan, bersama barisan kepimpinan tertinggi agensi berkenaan. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara dekat fungsi dan peranan CIDB dalam memacu standard industri pembinaan di bumi Kenyalang.

Dalam sesi lawatan tersebut, Timbalan Menteri telah diberi taklimat terperinci mengenai struktur organisasi serta operasi semasa CIDB Negeri Sarawak. Taklimat tersebut merangkumi pencapaian agensi, inisiatif pendaftaran kontraktor, serta program latihan kemahiran yang dijalankan bagi memastikan tenaga kerja binaan tempatan memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri menekankan kepentingan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan melalui CIDB dengan pemain industri di Sarawak bagi memastikan projek infrastruktur berjalan lancar. Beliau turut memuji komitmen CIDB Sarawak dalam mengadaptasi teknologi binaan moden yang selari dengan aspirasi pembangunan mampan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Lawatan kerja tersebut diakhiri dengan satu sesi sidang media bersama pengamal media tempatan. Dalam sesi tersebut, Timbalan Menteri berkongsi input daripada taklimat yang diterima serta menjawab pelbagai isu semasa berkaitan industri pembinaan, sebelum menyatakan penghargaan atas sokongan padu media dalam menyebarluaskan maklumat mengenai inisiatif kerajaan kepada rakyat Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0