MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN PUSAT REKOD PENDAFTARAN NEGARA KEPADA KEMENTERIAN DALAM NEGERI | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN PUSAT REKOD PENDAFTARAN NEGARA KEPADA KEMENTERIAN DALAM NEGERI

CYBERJAYA – Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Pusat Rekod Pendaftaran Negara kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Projek ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi pelaksana dan bangunan tersebut dinamakan sebagai ‘Bangunan Nilam Sari. Pusat Rekod ini dibina di atas tapak seluas 9.371 ekar di Cyberjaya. Projek yang bermula dengan Tarikh Milik Tapak (TMT) pada 18 November 2020 telah berjaya disiapkan dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), iaitu 32 hari lebih awal daripada tarikh siap semasa yang diluluskan pada 13 April 2026.

Projek bernilai RM119 juta ini merupakan projek penting di bawah Rancangan  Malaysia  Kesebelas  (RMK-11)  bagi  menyediakan  kemudahan penyimpanan rekod yang lebih sistematik dan selamat. Projek ini diselia oleh Pasukan Projek Khas 1 (PPK1), JKR Malaysia dan dilaksanakan menggunakan kaedah Konvensional Perunding, berpandukan Garis Panduan Pusat Rekod Agensi oleh Arkib Negara Malaysia serta piawaian antarabangsa MS ISO 11799:2011 – Information and Documentation – Document Storage Requirements for Archive and Library Materials. Piawaian ini meliputi aspek penyimpanan, pemeliharaan dan pemuliharaan dokumen fizikal, media mikrofilem serta imej digital bagi jangka masa panjang. Sehubungan itu, pusat rekod ini dibangunkan untuk menempatkan rekod pendaftaran  berkaitan  kependudukan  rakyat  Malaysia  secara  berpusat  serta berkeupayaan menampung penyimpanan sehingga 30 tahun akan datang.

Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor utama, NS Construction Sdn. Bhd., menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan pencapaian skor IBS melebihi 70%. Skop projek merangkumi pembinaan kemudahan berikut:

• Pejabat Pengurusan dan Pentadbiran

• Ruang Kerja dan Operasi

• Ruang Repositori

• Ruang Gunasama seperti kafe, tandas dan surau

• Tempat Letak Kenderaan

• Bangunan Sokongan

Projek ini turut mencatat pencapaian “3 dalam 1”, iaitu penyediaan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Lukisan Siap Bina dan Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account – SOFA). Selain itu, projek ini mencapai beberapa nilai tambah lain seperti Zero Lost Time Injury (LTI), penyediaan Dokumen Pendaftaran Aset, pelaksanaan asset tagging bagi semua blok, ruang dan komponen arkitektural, mekanikal, elektrikal serta ICT, penyediaan Dokumen Operasi dan Penyelenggaraan (O&M), penyiapan Building Information Modelling (BIM) LOD 500 serta memperoleh Certificate of Completion and Compliance (CCC).

Pelaksanaan  projek  ini  membuktikan  usaha  berterusan  Kerajaan MADANI dalam menyediakan kemudahan penyimpanan rekod yang memenuhi keperluan tadbir urus yang baik serta pematuhan kepada kehendak undang-undang. Bangunan Nilam Sari diharap dapat memperkukuh pengurusan dan penyimpanan rekod kependudukan negara secara lebih sistematik, selamat dan berpiawaian, seterusnya  menyokong  kesinambungan penyampaian  perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kerajaan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus komited memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara profesional, mematuhi garis panduan pembangunan tempatan serta menepati piawaian kualiti yang ditetapkan demi manfaat jangka panjang rakyat, khususnya dalam memperkasa tadbir urus dan ekosistem keselamatan maklumat negara

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0