MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PELAKSANAAN LPB SABAH | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PELAKSANAAN LPB SABAH

TAWAU – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini mengingatkan semua pihak untuk memastikan tiada lagi ruang bagi alasan, kerenah birokrasi atau kegagalan teknikal dalam pembangunan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan LPB Sabah Bilangan 3 Tahun 2026 di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Tawau, Sabah yang dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim (KSU KKR) dan YBhg. Datuk Ridhwan Roger Linus (Setiausaha Tetap KKR Sabah) hari ini menuntut anjakan drastik daripada sekadar “memantau” kepada “penyelesaian tuntas”.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), YBhg. Dato' Ir. Mohd Shamsul Nizam bin Abdul Wahid, Timbalan Pengarah Sektor  Lebuhraya Pan Borneo, pegawai-pegawai kanan daripada agensi Persekutuan dan Negeri serta wakil agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya Sabah, Pan Borneo Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Sabah Electricity, Celcom Timur, Maxis serta Telekom Malaysia.

Pelaburan mega daripada Kerajaan Persekutuan membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur Sabah sentiasa diberi perhatian. Namun, peruntukan ini perlu dizahirkan melalui kemajuan fizikal sebenar, bukan sekadar laporan di atas kertas.

Bagi menamatkan kemelut projek sakit, YBhg. Dato’ Seri KSU menetapkan mandat berikut berkuat kuasa serta-merta:

 1. Kekerapan Audit & Pemantauan: Pegawai Penguasa (SO) diarah meningkatkan kekerapan pemantauan tapak dan audit kualiti secara drastik;

 2. Tindakan Tanpa Kompromi: Kontraktor yang gagal mencapai milestone tanpa justifikasi kukuh akan dikenakan tindakan tegas — daripada surat amaran sehingga penamatan kontrak serta-merta. Agensi utiliti pula perlu memastikan kerja pengalihan utiliti dilaksanakan mengikut jadual serta tindakan segera diambil bagi mengelakkan kerja utama di tapak terganggu; dan

 3. Kualiti Jalan Raya: Keadaan jajaran sedia ada yang tidak memuaskan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Kontraktor diingatkan bahawa projek ini sepatutnya membawa keselesaan, bukannya menambah kesengsaraan kepada pengguna jalan raya.

Semua pihak terlibat perlu memainkan peranan bagi memastikan Projek LPB Sabah disiapkan mengikut jadual dan kos yang telah diluluskan tanpa kompromi. Rakyat Sabah berhak mendapat infrastruktur berkualiti selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0