TURUN PADANG KSU KE LEBUHRAYA PAN BORNEO (LPB) SABAH | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

TURUN PADANG KSU KE LEBUHRAYA PAN BORNEO (LPB) SABAH

SABAH – Turun Padang (TURPA) Kementerian Kerja Raya (KKR) menyaksikan komitmen berterusan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah berada pada landasan yang ditetapkan.

Lawatan kerja yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR) merangkumi jajaran hampir 100 km bermula dari Pakej Kerja (WP) 21: Lahad Datu Bypass, WP20: Agri Harvest – Sapagaya, WP19: IGN Estate – Agri Harvest, WP18: Madai – IGN Estate, WP17: Sungai Kalumpang – Madai, WP16: Kg. Check Point - Sg. Kalumpang dan WP15: Tawau - Semporna Package 1 Phase 2. Turut serta ialah YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pengurusan) KKR.

Pendekatan proaktif ini amat penting bagi memastikan bilangan pakej kerja yang lewat serta ‘projek sakit’ dapat diminimumkan, selaras dengan komitmen KKR dalam penyampaian projek berkualiti tinggi kepada rakyat. Hasil TURPA kali ini telah mengenal pasti beberapa faktor utama yang menjadi punca kelewatan Projek LPB Sabah, antaranya pengalihan utiliti, pengambilan balik tanah serta komitmen berterusan daripada kontraktor.

YBhg. Dato’ Seri KSU turut menegaskan bahawa semua agensi dan penyedia utiliti perlu memperkukuh penyelarasan serta mengambil tindakan segera dan serius bagi memastikan kerja-kerja pengalihan utiliti dilaksanakan mengikut keperluan jajaran pembinaan.

Pendekatan bersepadu serta komunikasi yang lebih efektif antara agensi amat penting bagi mengelakkan kelewatan projek dan isu berulang. KKR akan terus memantau rapi perkembangan ini serta memastikan setiap kekangan yang dikenal pasti ditangani secara tuntas demi memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat negeri Sabah, selaras aspirasi MYJalan dan Malaysia MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0