TURUN PADANG KSU TINJAU KERJA PEMBAIKAN JALAN FT036 ARING-JENERIS
GUA MUSANG - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSU KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim telah turun padang meninjau keadaan jalan di FT036 Aring – Jeneris (Pakej 6A) yang terjejas akibat hujan lebat pada penghujung tahun 2022 sehingga menyebabkan mendapan dan kerosakan jalan di beberapa lokasi. Lawatan ini bertujuan melihat sendiri keadaan di tapak serta memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Susulan lawatan tersebut, kerja pembaikan sementara telah dilaksanakan di tiga lokasi utama iaitu CH9000, CH12700 dan CH14000 bagi memastikan laluan berkenaan masih boleh digunakan oleh penduduk setempat dan pengguna jalan raya. Kerja pembaikan ini dijangka mengambil masa kira-kira 12 minggu dan dijadualkan siap pada April 2026.
Dalam masa yang sama, JKR turut merancang pembaikan kekal bagi menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh. Permohonan projek pembaikan kekal akan dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, dan sekiranya diluluskan, kerja pembinaan dijangka bermula pada tahun 2027.
Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur jalan raya yang selamat, berkualiti dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta inisiatif MYJalan dalam memperkukuh penyelenggaraan dan keselamatan jalan raya di seluruh negara.
- Log in to post comments