PELAKSANAAN PROGRAM G1–G4 BAGI KERJA PENYENGGARAAN JALAN PERSEKUTUAN ZON TENGAH/TIMUR TAHUN 2026 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

PELAKSANAAN PROGRAM G1–G4 BAGI KERJA PENYENGGARAAN JALAN PERSEKUTUAN ZON TENGAH/TIMUR TAHUN 2026

BANGI - YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya hari ini hadir ke Majlis Cabutan Undi Tawaran Kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia bagi Zon Tengah Timur untuk tahun 2026.

Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam memperkasa kontraktor kecil tempatan menerusi pelaksanaan Program Memperkasa Kontraktor G1–G4 bagi kerja-kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan Zon Tengah/Timur Tahun 2026.

Bagi tahun 2026, sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan program ini di seluruh Semenanjung Malaysia. Kelulusan kerja bertarikh 21 Januari 2026 melibatkan 758 kerja, merangkumi:

 • 81 kerja Berkala Pavemen (BP)

 • 677 kerja Berkala Bukan Pavemen (BBP)

Untuk Zon Tengah/Timur yang melibatkan negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, sebanyak 385 kerja bernilai RM157.15 juta telah ditawarkan melalui proses cabutan undi yang telus dan adil. Proses ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Cabutan Undi (JCU) bersama wakil Kerajaan serta syarikat konsesi, Roadcare (M) Sdn. Bhd.

Perincian kerja yang ditawarkan adalah seperti berikut:

 • 38 kerja Berkala Pavemen (anggaran RM56.7 juta)

 • 347 kerja Berkala Bukan Pavemen (anggaran RM100.45 juta)

Skop kerja Berkala Pavemen (BP) melibatkan kerja teknikal seperti mill & pave, Cold In-Place Recycling (CIPR), kerja overlay serta pembinaan semula jalan.

Manakala skop Berkala Bukan Pavemen (BBP) merangkumi aspek keselamatan dan estetika jalan seperti mengecat garisan jalan, membaik pulih papan tanda, pembinaan road kerb serta menaik taraf sistem perparitan.

Pemilihan kontraktor dilaksanakan secara atas talian berdasarkan rekod prestasi, pendaftaran sah dengan CIDB serta pemilikan Sijil Taraf Bumiputera (STB). Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Roadcare (M) Sdn. Bhd. akan memantau pelaksanaan kerja secara rapi, dengan penilaian prestasi dijadikan asas pertimbangan bagi peluang projek pada masa hadapan.

KKR menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap aspek kualiti, pematuhan spesifikasi, kawalan kos, penyiapan mengikut tempoh ditetapkan serta jaminan keselamatan kawasan kerja selaras dengan aspirasi Program MYJalan.

Inisiatif ini bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat dan memperkukuh kapasiti kontraktor Bumiputera, malah memastikan rangkaian Jalan Persekutuan kekal selamat, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0