MAJLIS PERASMIAN SESI DISKUSI MEJA BULAT: TATAKELOLA PELAKSANAAN PROJEK (MITIGASI PEMBAYARAN DI BAWAH ARAHAN PERBENDAHARAAN 59) SIRI 1 TAHUN 2026 (ZON SABAH)
KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Kewangan hari ini menganjurkan Sesi Diskusi Meja Bulat berkaitan tatakelola pelaksanaan projek dan pengurusan pembayaran di bawah Arahan Perbendaharaan 59. Program ini berlangsung di Hotel Promenade, Kota Kinabalu.
Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa setiap projek pembangunan perlu dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan. Beliau turut mengingatkan semua agensi dan pihak terlibat supaya bekerjasama dengan lebih erat serta melaksanakan tanggungjawab dengan amanah demi kepentingan rakyat.
Turut hadir ialah YBrs. Encik Hafez Bin Shabuddin Timbalan Pengarah Sektor Khidmat Teknikal Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah, YBrs. Encik Muhammad Haizul Azreen bin Usol Ghafli, Setiausaha Bahagian Kewangan KKR, bersama-sama pegawai kanan serta penyelaras projek daripada KKR dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah.
Program ini adalah sebahagian daripada siri diskusi yang dilaksanakan mengikut zon di seluruh negara. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan kewangan projek, khususnya langkah-langkah bagi mengelakkan isu kelewatan atau masalah pembayaran.
Melalui sesi ini, peserta diberi pendedahan mengenai kaedah dan tindakan praktikal untuk memastikan pembayaran projek dibuat dengan lebih teratur, mematuhi peraturan dan mengurangkan risiko kesilapan.
Selain itu, diskusi ini juga menjadi platform untuk berkongsi pengalaman serta membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan projek. KKR yakin pendekatan secara terbuka dan kolaboratif ini mampu membantu memperbaiki sistem penyampaian projek kerajaan dengan lebih berkesan.
Penganjuran sesi ini menzahirkan komitmen KKR untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan tatakelola yang baik, pengurusan kewangan yang berhemah dan memberi manfaat terus kepada rakyat selari dengan nilai Malaysia MADANI.
- Log in to post comments