MAJLIS CABUTAN KERJA UNDI PROGRAM KONTRAKTOR G1–G4 OLEH MENTERI KERJA RAYA | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MAJLIS CABUTAN KERJA UNDI PROGRAM KONTRAKTOR G1–G4 OLEH MENTERI KERJA RAYA

SEREMBAN - YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hari ini menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Program Kontraktor G1 hingga G4 bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan Zon Selatan Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban bersama pengurusan tertinggi KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi. 

Program ini bertujuan memberi peluang kepada kontraktor kecil tempatan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk terlibat secara langsung dalam kerja penyenggaraan jalan persekutuan melalui proses pemilihan secara cabutan undi di peringkat JKR Negeri yang telah diluluskan pada 21 Januari 2026.

Jumlah keseluruhan kelulusan bagi Kerja Berkala Pavemen di Zon Selatan adalah sebanyak RM19.5 juta melibatkan tiga negeri. Negeri Sembilan menerima kelulusan RM7.0 juta merangkumi enam (6) kerja iaitu tiga (3) kerja kelas G3 dan tiga (3) kerja kelas G4. Negeri Melaka memperoleh RM2.7 juta melibatkan tiga (3) kerja terdiri daripada satu (1) kerja kelas G2, satu (1) kerja kelas G3 dan satu (1) kerja kelas G4. Negeri Johor pula menerima RM9.8 juta melibatkan lapan kerja iaitu empat (4) kerja kelas G3 dan empat (4) kerja kelas G4.

Bagi Kerja Berkala Bukan Pavemen, jumlah keseluruhan kelulusan adalah sebanyak RM57.2 juta. Negeri Sembilan menerima RM19 juta melibatkan empat puluh lima (45) kerja iaitu 10 kerja kelas G1, 22 kerja kelas G2, sembilan (9) kerja kelas G3 dan empat (4) kerja kelas G4. Negeri Melaka memperoleh RM7 juta melibatkan dua puluh tujuh (27) kerja terdiri daripada 14 kerja kelas G1 dan 13 kerja kelas G2. Negeri Johor pula menerima RM31.2 juta melibatkan 113 kerja iaitu 44 kerja kelas G1 dan 69 kerja kelas G4.

Melalui pelaksanaan program ini, KKR dan JKR Malaysia terus komited pemerkasaan kontraktor tempatan sentiasa diberi keutamaan melalui penyenggaraan yang proaktif, berkesan dan menyeluruh selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, keselamatan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0