Pemeteraian MoA GP Utiliti PK Perkukuh Pelaksanaan Projek Kerajaan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

Pemeteraian MoA GP Utiliti PK Perkukuh Pelaksanaan Projek Kerajaan

PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya hari ini memeterai Memorandum of Agreement (MoA) GP Utiliti PK bagi memperkukuh pelaksanaan kerja perlindungan, pengalihan dan pemasangan semula utiliti dalam program serta projek Kerajaan, selaras dengan keputusan Kerajaan berkaitan pemakaian GP Utiliti PK di bawah RMK13 dan Rancangan Malaysia Lima Tahun seterusnya yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Majlis telah berlangsung di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, serta disaksikan oleh YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Pengarah ICU JPM.

Pemeteraian ini melibatkan 19 syarikat utiliti utama negara, merangkumi sektor elektrik, telekomunikasi, gas, air dan pembetungan, iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), TM Technology Services Sdn. Bhd., SEDCO Communications Sdn. Bhd., PETRONAS Gas Berhad, FibreRail Sdn. Bhd., Sabah Electricity Sdn. Bhd., Redtone Engineering & Network Services Sdn. Bhd., Pengurusan Air Pahang Berhad, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd., Air Kelantan Sdn. Bhd., Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd., Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd., Ranhill S.A.J Sdn. Bhd., Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd., Syarikat Air Melaka Berhad, Lembaga Air Perak, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. dan Maxis Broadband Sdn. Bhd.

Melalui pemeteraian ini, kerja utiliti bagi sistem bekalan air dan pembetungan akan dilaksanakan sendiri oleh syarikat utiliti dengan kos ditanggung oleh Kerajaan melalui mekanisme pembiayaan yang dipersetujui, termasuk penyaluran dana, tuntutan semula serta tempoh bayaran balik yang ditetapkan. Langkah ini memastikan komitmen rasmi, penyelarasan operasi dan pematuhan tanggungjawab antara Kerajaan dan syarikat utiliti dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan berkesan.

Secara keseluruhannya, MoA dan Surat Aku Janji yang dimeterai hari ini menandakan satu mercu tanda penting dalam kerjasama strategik antara Kerajaan dan syarikat utiliti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan tadbir urus berintegriti, kecekapan penyampaian serta pembangunan infrastruktur yang tersusun, mampan dan berfokuskan kesejahteraan rakyat.

#KKR

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0