INSIDEN RUNTUHAN CERUN DI LALUAN FT1208, SEKSYEN 2.0, JALAN SUNGAI BUAYA, DAERAH HULU SELANGOR, SELANGOR | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

INSIDEN RUNTUHAN CERUN DI LALUAN FT1208, SEKSYEN 2.0, JALAN SUNGAI BUAYA, DAERAH HULU SELANGOR, SELANGOR

HULU SELANGOR – Kementerian Kerja Raya (KKR) ingin memaklumkan berhubung insiden runtuhan cerun yang berlaku di Laluan Persekutuan FT1208, Seksyen 2.0, Jalan Sungai Buaya, Daerah Hulu Selangor, Selangor pada 24 November 2025. Kejadian tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada sebahagian struktur jalan dan menyebabkan penutupan laluan kepada pengguna bagi menjamin keselamatan orang awam. 

2. Susulan itu, YB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, telah turun padang meninjau lokasi runtuhan bersama pengurusan tertinggi KKR dan JKR pada 28 November 2025, jam 5.30 petang bagi melihat sendiri dari dekat dan  terperinci keadaan cerun serta tindakan segera yang sedang dan tindakan rawatan yang akan dilaksanakan.

3. Pada 25 November 2025, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor telah menjalankan pemeriksaan tapak. Hasil siasatan mendapati kegagalan cerun berlaku pada kawasan downslope sepanjang 33 meter dengan ketinggian cerun 13 meter. Mod kegagalan dikenal pasti sebagai jenis translational.

4. Punca runtuhan adalah disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna, seterusnya meningkatkan kadar resapan air larian permukaan terutama susulan taburan hujan yang tinggi. Keadaan ini telah melemahkan struktur tanah permukaan cerun sehingga mencetuskan insiden kegagalan.

5. Buat masa ini, JKR Daerah Hulu Selangor dengan kerjasama syarikat konsesi Road Care Sdn Bhd telah melaksanakan langkah mitigasi segera termasuk:

• pemasangan kanvas bagi melindungi permukaan cerun,

• pemasangan sand bag untuk mengelakkan aliran air memasuki kawasan runtuhan, serta

• pelaksanaan pelan pengurusan trafik (TTP) melibatkan pemasangan papan tanda amaran dan penghadang jalan.

6. Bagi pembaikan kekal, CKC sedang mendapatkan kelulusan Kementerian untuk melaksanakan kerja pembaikan secara Arahan Kerja (AK) melalui kontraktor penyelenggaraan cerun jangka panjang, yang merangkumi kerja pengukuhan dan penstabilan cerun, pembaikan sistem perparitan serta perlindungan permukaan cerun, dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM2 juta.

7. KKR dan JKR komited memastikan aspek keselamatan pengguna jalan raya terus diberi keutamaan dan kerja pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, keselamatan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan. Orang awam turut dinasihatkan untuk mematuhi arahan keselamatan serta papan tanda yang dipasang di lokasi demi menjaga keselamatan bersama.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0