PROJEK MENAIKTARAF JALAN DARI INANAM KE SEPANGGAR PAJEK WP7 LPB SABAH FASA 1A KINI MENCAPAI KEMAJUAN 89 PERATUS
KOTA KINABALU, SABAH - Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, melakukan lawatan rasmi ke Pakej Kerja 7 bagi Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A melibatkan menaiktaraf jalan dari Inanam ke Sepanggar.
Sehingga akhir Oktober 2025, projek mencatat kemajuan fizikal 89% dan jajaran utama sepanjang 9.9 km di bawah Sijil Penghunian Sementara (CPO 1) telah dibuka, memberi manfaat kepada penduduk Inanam, Menggatal dan Sepanggar dengan kelancaran trafik sementara kerja akhir diteruskan.
Kerja-kerja baki melibatkan penyempurnaan tiga persimpangan utama: Sepanggar, Menggatal dan Tuaran. Projek berjalan lancar hasil kerjasama KKR Malaysia, JKR Sabah dan pihak pelaksana.
Pakej 7 merupakan komponen penting kepada rangkaian Kota Kinabalu Outer Ring Road (KKORR) bersama Pakej 6 (Putatan–Inanam) dan Pakej 8 (Sepanggar–Bulatan Berungis). Apabila siap, rangkaian ini akan mengurangkan kesesakan, mempercepat perjalanan, meningkatkan kecekapan logistik, serta menyediakan laluan alternatif kepada jalan sedia ada.
KKR merakamkan penghargaan kepada semua agensi terbabit dan menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaan Projek Pan Borneo Sabah berjalan telus serta memberi manfaat kepada rakyat.
- Log in to post comments