KSU KKR SERTAI PANEL POCKET TALK DI FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA 2025 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

KSU KKR SERTAI PANEL POCKET TALK DI FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA 2025

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, telah dijemput sebagai ahli panel dalam sesi Pocket Talk sempena Festival IDEA Putrajaya 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Sesi tersebut bertajuk “Technology for Social Good: BIM for People”, yang memberi fokus kepada penggunaan Building Information Modelling (BIM) sebagai pemangkin penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efektif serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cekap, mampan dan berasaskan teknologi.

Pocket Talk ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron, Pengarah BIM Centre, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan teknologi pembinaan.

Dalam sesi tersebut, YBhg. Dato’ Seri Azman menekankan komitmen KKR dalam memperluas penggunaan BIM di seluruh projek infrastruktur negara bagi meningkatkan ketelusan, keberhasilan projek serta mengoptimumkan nilai untuk rakyat. Beliau turut mengetengahkan potensi BIM sebagai platform kolaborasi pelbagai agensi yang mampu memperkukuh integrasi data, pemantauan projek dan proses membuat keputusan.

Penyertaan ini mencerminkan peranan aktif KKR dalam memajukan pembangunan infrastruktur berasaskan teknologi digital serta menyokong aspirasi kerajaan ke arah transformasi sektor pembinaan nasional.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0