MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP PANGKALAN MARITIM APMM SEMPORNA PERKUKUH KESELAMATAN PANTAI TIMUR SABAH
SEMPORNA, SABAH – YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya bersama YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri hari ini menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Siap Pangkalan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna, Sabah. Projek ini dijangka memperkukuh aspek keselamatan dan kedaulatan negara di pantai timur Borneo.
Projek bernilai RM65.28 juta ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dengan Prinsip Hasil Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama. Walaupun tarikh siap penuh dijadualkan pada Jun 2026, komponen daratan telah disiapkan lebih awal dan diserahkan secara separa pada 29 September 2025.
Fasa daratan melibatkan kemudahan utama seperti Blok Pentadbiran, Rumah Bot, Rumah Pam, Menara Tangki Air dan pondok pengawal, manakala fasa marin merangkumi pembinaan jambatan akses sepanjang 165 meter dan jeti utama 100 meter yang dijangka siap Julai 2026.
Apabila siap sepenuhnya, pangkalan ini akan berfungsi sebagai Forward Operation Base (FOB) kepada APMM dan agensi keselamatan lain di zon ESSZone bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, mempercepat tindak balas operasi serta menambah baik kesiapsiagaan menangani ancaman rentas sempadan.
KKR menzahirkan penghargaan kepada KDN atas kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek ini dan menegaskan komitmen kementerian dalam memastikan projek infrastruktur strategik dilaksana dengan cekap, berkualiti serta menepati masa selaras aspirasi Kerajaan MADANI.
- Log in to post comments