MENTERI KERJA RAYA RASMIKAN MALAYSIA INTERNATIONAL CONSTRUCTION & INFRASTRUCTURE TECHNOLOGY EXHIBITION (MCITE) DAN MBAM ONEBUILD 2025 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
0

MENTERI KERJA RAYA RASMIKAN MALAYSIA INTERNATIONAL CONSTRUCTION & INFRASTRUCTURE TECHNOLOGY EXHIBITION (MCITE) DAN MBAM ONEBUILD 2025

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi hari ini merasmikan Malaysia International Construction & Infrastructure Technology Exhibition (MCITE) yang berlangsung serentak dengan MBAM OneBuild 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sejak lebih sedekad, MBAM OneBuild telah dikenali sebagai platform utama teknologi pembinaan dan infrastruktur negara dengan menghimpunkan pemimpin industri global, jenama terkemuka serta ribuan profesional. Acara ini terus menjadi pemacu inovasi, menggalakkan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global teknologi pembinaan.

Edisi tahun 2025 memberi tumpuan kepada inovasi perintis, transformasi industri serta komitmen terhadap kelestarian dan teknologi canggih. Antara tarikan utama ialah pameran jentera berat berkuasa elektrik dan hidrogen, simulator canggih yang meningkatkan latihan dan kecekapan operasi, serta jentera berat autonomi yang mampu meningkatkan produktiviti, keselamatan dan ketepatan di tapak pembinaan.

Pameran ini dibahagikan kepada tiga segmen utama, iaitu:

i)Pembinaan & Infrastruktur – memfokuskan penyelesaian terkini dalam pembangunan industri pembinaan.

ii)Perkakasan Pembinaan – mengetengahkan pelbagai peralatan dan teknologi moden.

iii)Jentera & Peralatan Pembinaan – menampilkan jentera tercanggih bagi meningkatkan produktiviti projek.

Lebih signifikan, MBAM OneBuild 2025 turut diadakan serentak dengan OneWare – Malaysia International Hardware Technology Exhibition yang memfokuskan kepada sektor perkakasan pembinaan. Acara ini melibatkan keluasan pameran 5,500 meter persegi dengan penyertaan 200 pempamer, 280 ruang pameran serta dijangka menarik kehadiran 8,000 pelawat perdagangan dari dalam dan luar negara.

Dalam ucapan perasmian, YB Menteri menegaskan bahawa penganjuran MCITE dan MBAM OneBuild 2025 selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan daya saing sektor pembinaan Malaysia melalui penerapan teknologi baharu, amalan mesra alam serta kerjasama strategik antara pemain industri.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7